GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Segerakan sesi penerangan elak salah faham GST



Publication: BH
Date of publication: Oct 28, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 022

Keputusan kerajaan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa pada April 2015 selaras dengan keperluan ekonomi negara. Justeru, peniaga, pelabur dan orang ramai wajar diberikan kerangka masa dan hala tuju yang jelas untuk membuat persediaan kerana GST bertujuan membetulkan kelemahan dalam sistem cukai dan mengurangkan defisit belanjawan. Seperti yang diucapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2014, GST yang akan dilaksanakan 17 bulan lagi tidak bertujuan membebankan rakyat, bahkan bagi menjamin kepentingan awam yang sebelum ini dibebankan dengan cukai langsung terhadap mereka. GST bukan cukai tambahan untuk membebankan rakyat, sebaliknya dilaksanakan bagi menghapuskan percukaian yang dikenakan ke atas produk dan barangan sekarang. Lazimnya cukai yang dikenakan menerusi GST lebih rendah berbanding sistem percukaian yang ada sekarang. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, segala dasar yang diperkenalkan membabitkan kajian terperinci dalam pelbagai aspek. GST bukan sistem yang tergesa-gesa, bahkan pengambil kira kepentingan negara dan rakyat bagi memastikan ekonomi berkembang pesat menjelang 2020.

Dalam konteks semasa, GST dapat memastikan eksport barangan dan perkhidmatan kekal berdaya saing, serta membantu kestabilan ekonomi dan membangunkan negara dalam tempoh jangka panjang. Ia juga satu bentuk percukaian yang lebih adil kepada rakyat di samping mengukuhkan kewangan negara. Apa yang menjadi polemik sekarang ialah kerana masih ramai belum memahami GST sepenuhnya. Mereka memerlukan penjelasan secara terperinci kerana istilah 'cukai' sering menimbulkan salah faham. Sehingga kini ada beberapa pihak meragui pengenalan GST yang dianggap lebih membebankan. Justeru, mekanisme lengkap termasuk buku panduan harga dan simulasi pelaksanaan GST perlu diedarkan bagi memastikan rakyat lebih memahami kebaikan dan kesan sistem percukaian baru. Kita yakin sesi penerangan yang akan dilakukan oleh kerajaan dapat memberi penjelasan supaya rakyat faham dan tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang sengaja mencipta isu bagi kepentingan mereka, apatah lagi ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sekarang. Rakyat memerlukan penjelasan lebih teliti dan telus, pada masa yang sama kerajaan pula perlu meningkatkan sistem penyampaian bagi memastikan semua pihak mendapat penjelasan terbaik agar GST tidak dianggap membebankan orang ramai.

No comments:

Post a Comment