GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Program transformasi diiktiraf dunia


Publication: BH
Date of publication: Oct 30, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 008
Byline / Author: Oleh Mohd Afzanizam

Kedudukan Malaysia yang melonjak ke tempat keenam daripada ke-12 dari segi mudah menjalankan perniagaan di kalangan 189 negara, jelas sekali menunjukkan pengiktirafan komuniti antarabangsa terhadap program transformasi yang dilaksanakan kerajaan.

Kemampuan Malaysia mengatasi banyak negara maju dalam laporan Bank Dunia itu adalah sesuatu yang menakjubkan dan mengiktiraf reputasi negara dari segi kedudukan daya saingnya.

Ia mencerminkan keselesaan dalam kalangan pelabur dan peniaga tempatan serta asing untuk beroperasi di sini, sekali gus meningkatkan potensi menarik pelaburan berkualiti dari dalam dan luar negara.

Peluang pekerjaan

Apabila banyak syarikat selesa beroperasi, ia pastinya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dalam pelbagai bidang dan kepakaran serta kesan sampingan ekonomi yang lain.

Dalam salah satu bidang yang diukur laporan Bank Dunia itu, iaitu kemudahan Mendapatkan Kredit, Malaysia kekal pada kedudukan teratas sejak beberapa tahun lalu.

Ini bermakna infrastruktur kewangan negara adalah yang paling baik serta bersesuaian bagi aktiviti menjana modal sama ada menerusi bank ataupun pasaran modal.

Peningkatan paling ketara juga diraih Malaysia dari segi Urusan Permit Pembinaan yang meningkat daripada kedudukan ke-96 kepada ke-43.

Kedudukan dalam bidang ini mungkin dapat diperbaiki lagi pada tahun seterusnya susulan cadangan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

Ia termasuk langkah memudahkan lagi proses yang mana akan mampu menarik lebih banyak penyertaan daripada sektor swasta untuk terbabit dalam pembinaan rumah sedemikian.

Selain itu, peningkatan kedudukan Malaysia dalam senarai keseluruhan itu juga menunjukkan negara berada dalam landasan yang betul mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ia menunjukkan sistem yang diamalkan negara kini nampaknya semakin matang dan setaraf dengan negara maju.

Keyakinan pelabur

Mendapat keyakinan pelabur adalah sesuatu perkara yang utama dan tentunya meraih pengiktirafan daripada badan berpengaruh seperti Bank Dunia akan membantu negara untuk lebih menyerlah berbanding pesaingnya.

Kita sudah melihat negara jiran seperti Indonesia dan India yang bergelut membendung defisit berkembar yang mana bertumpu kepada memulihkan kembali keyakinan pelabur untuk melabur di negara masing-masing.

Dalam konteks bajet, pembaharuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Jumaat lalu, jelas memberikan gambaran mengenai kepentingan untuk memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Langkah yang akan dilaksanakan itu mungkin tidak popular tetapi ia amat penting dalam memastikan survival negara pada masa depan.

Dari segi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula, kebanyakan negara maju sudah melaksanakannya dan berdasarkan kajian ekonomi mengenai sistem cukai itu, peringkat awal pelaksanaannya boleh menyebabkan inflasi sebelum ia kembali normal.

Dalam situasi ini, komunikasi yang berkesan memainkan peranan penting untuk memastikan perkara itu tidak disensasikan.

Secara ringkasnya, pelaksanaannya adalah sesuatu yang menyakitkan dalam jangka pendek, namun amat bermanfaat dalam jangka panjang dalam menyokong usaha kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

* Penulis ialah Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd

No comments:

Post a Comment