GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

PAS, PKR tak sehaluan isu pelaksanaan GST



Publication: BH
Date of publication: Nov 1, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 010

Yan: PAS dan PKR tidak sehaluan dalam soal pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang ingin dilaksanakan kerajaan meskipun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui ia sistem cukai yang efisien.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata penolakan GST itu sudah dipersetujui bersama pakatan pembangkang sebelum ini termasuk rakan komponennya, PKR dan DAP.

Katanya, kerajaan sepatutnya perlu memperkemaskan lagi pentadbiran dengan berusaha mengatasi ketirisan yang berlaku dalam kerajaan sebelum melaksanakan GST.

Pendapatan RM27b

"Melalui GST, kita difahamkan kerajaan akan memperoleh pendapatan sekitar RM25 bilion hingga RM27 bilion dan ini tidak adil jika ia dilaksanakan sedangkan ketirisan tidak diatasi," katanya ketika ditanya mengenai pendirian PAS berhubung perkara itu di sini, semalam.

Semalam, akhbar melaporkan Anwar mengakui pelaksanaan GST dicadangkan oleh kerajaan untuk dilaksanakan pada 2015 adalah sistem pungutan cukai efisien.

"Bayangkan jika GST benar-benar tidak menguntungkan (negara), sudah pasti puluhan negara yang mengamalkannya selama ini akan kembali kepada sistem percukaian asal yang diguna pakai.

"Saya lihat kebanyakan keliru mengenai GST hanya mendengar cakap-cakap orang saja, tanpa memahami fakta sebenar mengenai sistem itu. Namun, selepas kerajaan memberi penerangan demi penerangan, banyak pihak termasuk pembangkang sendiri mula memahami keperluannya," kata Anwar.

Beliau berkata demikian selepas majlis ramah mesra bersama rakyat anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) G-IV, Guar Chempedak, di sini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika diminta mengulas isu sama, mahu Anwar membuktikan pengakuan mengenai keberkesanan GST, bukan sekadar mainan politik semata-mata.

"Apa tujuannya, rakyat sendiri boleh menilai. Pada saya ia tidak lain dan tidak bukan kerana beliau mahu meraih sokongan pengundi semata-mata," katanya.

No comments:

Post a Comment