GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

'Kerajaan patut beri penerangan jelas'


Publication: MA
Date of publication: Oct 27, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 012
Byline / Author: Oleh Na'imah Mohamed

Shah Alam: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan kerajaan supaya memberikan penerangan jelas mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi memastikan rakyat benar-benar faham kebaikan serta kelebihan langkah itu.

Beliau berkata, semua lapisan masyarakat perlu diberi pemahaman mengenai cukai itu dan bagaimana ia akan dilaksanakan termasuk rasional di sebalik keputusan itu bagi menangkis dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan ia membebankan rakyat.

"Isu GST sudah diperkatakan sejak dua tahun lalu dan sebenarnya sudah ada penerimaan serta ada yang memahami perkara ini. Jadi, sekarang kerajaan perlu menunjukkan keyakinan bahawa langkah ini akan dapat dilaksanakan dengan baik.

"Apabila kita umumkan GST ini, pada masa sama kita perlu bersedia untuk perkenalkannya kepada rakyat. Kalau hanya cakap sikit-sikit tidak cukup, semua agensi kerajaan mesti bersungguh-sungguh dalam memberi penerangan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian 'Going Green UiTM 2013' dengan menanam 2,013 batang pokok 'Meranti Bukit' di kawasan kampus induk Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, semalam.

Turut hadir isterinya, Tun Jeanne Abdullah yang juga Pengerusi Landskap Malaysia dan Naib Canselor UiTM, Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah tentu memikirkan semasak-masaknya setiap keputusan yang dibuat dan tidak akan melaksanakannya jika ia tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

"Seperti keputusan kerajaan memansuh subsidi gula berkuat kuasa hari ini, ia satu keputusan yang sudah mengambil kira semua faktor. Begitu juga dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinaikkan kepada RM650 yang saya percaya banyak membantu rakyat berpendapatan rendah," katanya.

No comments:

Post a Comment