SITI ZUBAIDAH MAT ISA
1 November 2013
Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (tengah) dan Mohamed Feroz (kiri) bergambar bersama pemenang |
SYARIKAT tekstil Jakel Trading tidak akan menaikkan harga kain jualannya selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, bagi memastikan harga produknya kekal rendah, Jakel akan mengadakan perbincangan dengan pembekal di luar negara bagi menurunkan harga tekstil.
“Pelaksanaan GST pada kadar enam peratus adalah langkah bijak kerajaan meningkatkan pendapatan negara. Tetapi pelanggan tidak perlu bimbang kerana Jakel akan terus menawarkan harga lebih kompetitif sama seperti sekarang.
“Pada masa sama Jakel tetap beri jaminan kualiti tekstil terbaik kepada pelanggan,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Cabutan Bertuah Beli dan Menang 2013 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Peraduan itu menawarkan hadiah 22 unit Perodua Viva, telefon pintar Samsung Galaxy SIII, tablet Samsung Galaxy Tab, televisyen, fabrik dan baucar mingguan.
Sementara itu, Jakel yakin mencapai sasaran perolehan melebihi 15 peratus tahun ini.
“Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, Jakel sudah capai 15 peratus keuntungan iaitu lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Kami jangka peratusan ini akan terus meningkat selepas jualan akhir tahun bermula 24 November,” katanya.
Jakel juga bakal membuka dua lagi cawangan di Bangi, Selangor dan di Pulau Pinang dalam tempoh terdekat.
“Cawangan ke-21 di Bangi dijangka mula operasi tahun depan dan bakal jadi antara cawangan terbesar Jakel," katanya.
No comments:
Post a Comment