GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

GST: Pembangkang hanya menangguk di air keruh


28 Oktober 2013

KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini mendesak pembangkang tidak terus mengelirukan rakyat dengan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST). 

Anggota Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pembangkang seolah-olah 'menangguk air di sungai yang keruh' apabila kerap memutarkan isu GST semasa musim pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau.

"GST adalah mekanisme yang lebih adil kerana jika ada pihak yang sebelum ini mengelak untuk membayar cukai, mereka kini perlu juga membayar enam peratus cukai kepada kerajaan, dan pendapatan itu akan disalurkan semula kepada rakyat seperti program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau rasionalisasi subsidi," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat di sini.

Reezal Merican berkata, kerajaan tidak pernah berhasrat menekan rakyat menerusi cukai, malah bersedia untuk memberikan tempoh pelaksanaannya sehingga 1 April 2015. 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari mempersoalkan tindakan pembangkang yang 'begitu takut' dengan pelaksanaan GST, sedangkan orang lain telah menerima cukai itu.

"Malah GST tidak akan dilakukan dengan serta-merta. Ada lebih setahun sebelum ia berlaku dan ada ruang untuk meneliti sehalus-halusnya pelaksanaannya supaya semua mendapat kebaikan," katanya. 

Perkara itu juga dipersetujui Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr James Dawos Mamit yang berpendapat pembangkang tidak seharusnya menyembunyikan fakta bahawa GST tidak akan dilaksanakan kepada barangan keperluan asas seperti makanan.

Anggota Parlimen Kangar Shaharuddin Ismail berkata pembangkang hanya berani menabur dakyah negatif mengenai GST di kawasan luar bandar memandangkan masyarakat di kawasan bandar tidak mudah 'termakan' dengan dakwaan mereka. 

Justeru, bagi menangkis 'serangan' pembangkang dalam isu GST, Shaharuddin mencadangkan semua anggota Parlimen BN memainkan peranan untuk memberi penerangan sebetul-betulnya kepada rakyat di kawasan masing-masing. 

Anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Puteri Umno berkata pihaknya akan mengkaji dan memahami isu GST sedalam-dalamnya untuk menangkis helah pembangkang terhadap rakyat. - Bernama

No comments:

Post a Comment