GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

GST lebih telus, manfaat negara


Publication: BM
Date of publication: Oct 27, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 024

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan kerajaan pada April 2015 merupakan cukai kepenggunaan yang dikenakan secara meluas pada pelbagai peringkat dan dibayar apabila barangan atau perkhidmatan dibeli atau digunakan.

Di sesetengah negara, cukai ini juga dikenali sebagai Cukai Nilai Tambah (VAT) yang dikenakan terhadap nilai tambah barangan atau perkhidmatan pada setiap peringkat pengilangan dan rantaian pengagihan.

Elemen percukaian bukan sebahagian daripada kos produk memandangkan GST atas input perniagaan boleh dituntut. GST mula diperkenalkan di Perancis pada 1954 dan kini sudah dilaksanakan pada lebih 160 negara, termasuk negara kurang membangun dengan kadar cukai antara 5 peratus hingga 27 peratus. Ketika ini, semua negara ASEAN sudah melaksanakan GST kecuali Brunei, Myanmar dan Malaysia.

Pemansuhan cukai jualan

Cukai jualan dan cukai perkhidmatan akan dimansuhkan dan digantikan dengan GST pada 2015. Cukai jualan diperkenalkan pada 1972 (Akta Cukai Jualan 1972) dan dikenakan ke atas barangan bercukai pada peringkat pengilang, dengan nilai jualan tahunan melebihi RM100,000. Barangan import juga tertakluk kepada cukai jualan. Kadar standard cukai sebanyak 10 peratus dikenakan ke atas pelbagai jenis barangan dan 5 peratus pula dikenakan ke atas produk tertentu seperti barangan makanan, produk penjagaan kebersihan serta bahan binaan.

Sementara itu, Akta Cukai Perkhidmatan 1975 membolehkan kadar cukai sebanyak 6 peratus dikenakan ke atas perkhidmatan bercukai yang disediakan oleh restoran dan hotel, perkhidmatan telekomunikasi serta perkhidmatan profesional seperti arkitek, jurutera, peguam, juruukur dan akauntan. Berkuat kuasa Januari 2010, cukai perkhidmatan tahunan juga dikenakan ke atas kad kredit dan kad caj pada kadar RM50 dan RM25 bagi kad tambahan.

Bertentangan prinsip cukai

Ada beberapa kelemahan dalam struktur dan pelaksanaan cukai perkhidmatan dan jualan yang dianggap rumit kerana sering menimbulkan masalah pentadbiran. Sistem percukaian ini juga dilihat bertentangan dengan prinsip asas percukaian seperti neutral, saksama dan cekap. Kelemahan utama sistem ini adalah seperti berikut:

Kesan bertindih disebabkan oleh cukai berganda

Dua sistem cukai yang berbeza pada satu masa akan menyebabkan kesan bertindih yang menyebabkan suatu item boleh dikenakan cukai dua kali. Sebagai contoh, makanan dan minuman yang tertakluk kepada cukai jualan, jika kemudiannya dijual lagi oleh pemegang lesen seperti pengurus hotel atau restoran, item itu akan dikenakan cukai tambahan 6 peratus dalam bentuk cukai perkhidmatan. Oleh yang demikian, cukai perkhidmatan itu dikenakan sekali lagi ke atas item yang sudah dikenakan cukai di bawah sistem cukai jualan.

Kesan bertindih dalam sistem cukai yang sama

Kesan bertindih juga terjadi dalam sistem cukai yang sama. Sebagai contoh, pemegang lesen cukai perkhidmatan perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas inputnya seperti perkhidmatan telekomunikasi, perakaunan, perundangan dan perundingan. Cukai yang dibayar ke atas perkhidmatan ini akan dimasukkan ke dalam harga akhir. Apabila pemegang lesen menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan, cukai perkhidmatan akan dikenakan sekali lagi ke atas harga jualan. Oleh itu, cukai jualan dikenakan ke atas komponen yang telah pun dikenakan cukai.

Kesan piramid

Cukai jualan dikenakan pada peringkat pengilang saja, namun sering menimbulkan `kesan piramid' kerana wujudnya peratusan tokokan yang dikenakan sebagai elemen percukaian dan kos jualan produk di sepanjang rantaian pengedaran. Sebagai contoh, pengedar yang membeli barangan tertentu daripada pengilang pada harga RM100 ditambah dengan cukai jualan sebanyak RM10 (berjumlah RM110), pada kebiasaannya akan menambah margin keuntungan pengedar ke atas jumlah RM110, dan bukan ke atas kos RM100. Oleh itu, kegagalan untuk membezakan antara kos jualan produk dan unsur percukaian dalam harga sering memberi keuntungan kepada peniaga. Keadaan ini menjejaskan kutipan hasil kerajaan dan pengguna akhir.

Pemindahan harga dan integrasi menegak

Pada masa ini, sistem cukai jualan tidak menggalakkan perkembangan industri tempatan daripada terbabit dalam integrasi ke hadapan. Sebagai contoh, sesetengah fungsi pemasaran diberikan kepada subsidiari yang berkaitan supaya cukai jualan dibayar pada nilai yang lebih rendah. Walaupun Akta Cukai Jualan 1972 memperuntukkan penentuan nilai jualan pada harga arm's length, kesesuaian dalam menentukan apa-apa nilai yang saksama dan boleh dilaksanakan merupakan sesuatu yang sukar. Masa yang mencukupi diperlukan untuk menentukan nilai boleh cukai ke atas barangan atau perkhidmatan di bawah peringkat berkenaan.

Tiada pelepasan yang menyeluruh untuk eksport

Walaupun produk yang dieksport tidak dikenakan cukai, produk berkenaan sebenarnya tidak bebas sepenuhnya daripada cukai yang dimasukkan di sepanjang rantaian pengedaran. Pada masa ini, tidak ada mekanisme untuk melepaskan produk yang dieksport daripada cukai tersembunyi itu. Oleh itu, produk dieksport menjadi lebih mahal dan kurang berdaya saing di pasaran antarabangsa. Di bawah sistem GST, cukai itu boleh dikenal pasti sepenuhnya dan layak menerima rebat kerana semua produk eksport akan berkadar sifar.

Kerenah birokrasi ke atas bahan bebas cukai

Kelulusan Kementerian Kewangan diperlukan untuk mendapatkan bahan bebas cukai bagi input pengeluaran dan pengecualian cukai ke atas barangan modal. Syarikat yang mendapat kelulusan itu adalah tertakluk kepada pengauditan bagi memas-tikan kelulusan tidak disalah guna. Pengauditan ini menambahkan kos bukan saja kepada perniagaan tetapi juga kepada kerajaan.

Bagaimanapun, kelulusan itu tidak perlu di bawah GST kerana ia adalah pengawasan kendiri. Individu yang dikenakan cukai boleh mengimbangi cukai input yang ditanggungnya terhadap liabiliti cukai output.

Isu klasifikasi dalam sistem cukai jualan

Oleh kerana cukai jualan hanya dikenakan ke atas barangan tertentu, klasifikasi status produk bercukai sering menimbulkan masalah pematuhan. Tanggungjawab terletak ke atas pengilang untuk mengetahui status boleh cukai output itu. Pengilang sering dihukum kerana gagal memasukkan elemen percukaian sekiranya barangan itu adalah bercukai. Keperluan untuk mengkategorikan produk dan perkhidmatan kepada bercukai dan tidak bercukai sering menambahkan kos pentadbiran kepada industri. Keadaan ini tidak akan timbul di bawah GST kerana kebanyakan barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai.

Rasional untuk memperkenalkan GST

Langkah kerajaan memperkenalkan GST adalah untuk memperkemaskan struktur cukai sedia ada bagi menjadikannya lebih cekap, berkesan, telus dan mesra perniagaan. GST akan memudahkan sistem cukai kepenggunaan semasa dengan meningkatkan ekuiti, mengurangkan bilangan cukai yang berasingan serta meluaskan asas pendapatan negara.

INFO

Kelebihan GST

Model GST yang dicadangkan dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, antaranya:

Pengguna

- Adil dan lebih telus kerana pengguna boleh mengenal pasti cukai yang dibayar bagi setiap transaksi.

- Bebanan cukai dapat diagihkan dalam populasi secara lebih meluas.

- Membawa kepada pengurangan dalam kos barangan dan perkhidmatan kerana peniaga boleh menuntut kredit cukai input daripada kerajaan.

- Galak perbelanjaan berhemat memandangkan cukai dikenakan berasaskan penggunaan.

Sektor swasta

- Sistem cukai yang neutral dan telus kerana aktiviti ekonomi yang bersaing dikenakan cukai dalam bentuk yang sama.

- Eksport barang dan perkhidmatan dikenakan pada kadar sifar, menjadikan eksport negara lebih berdaya saing di pasaran global.

- Menggalakkan sektor pelancongan kerana pelancong dapat menikmati bayaran balik cukai ke atas pembelian barangan dan perkhidmatan daripada peruncit yang berdaftar melalui Skim Bayaran Balik.

Pelancong

- Penguatkuasaan kendiri dalam sistem cukai, memperketatkan pengelakan cukai dengan memasukkan mekanisme pengkreditan cukai input.

- Kos pematuhan pentadbiran GST lebih rendah disebabkan oleh penyelarasan sistem cukai.

Kerajaan

- Memiliki sumber hasil yang lebih stabil, boleh diramal dan cekap berasaskan penggunaan.

- Mempromosikan pematuhan cukai secara keseluruhan serta memasukkan sektor tidak formal ke dalam jaringan cukai.

-Meningkatkan kutipan cukai selaras pertumbuhan ekonomi.

Ekonomi

- Pembentukan modal tidak terjejas kerana peniaga boleh menuntut cukai input.

- Meningkatkan daya saing memandangkan GST mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

- Menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

No comments:

Post a Comment