GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Cukai lindungi pekerja berpendapatan rendah


Publication: BM
Date of publication: Oct 27, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 025

Dalam merangka model GST, kerajaan sudah mengambil beberapa langkah bagi menjadikannya kurang regresif melalui mekanisme berikut:

Bekalan berkadar sifar

Produk yang akan berkadar sifar adalah seperti berikut:

- Barangan makanan asas seperti beras, gula, daging, ikan, ayam, sayuran, tepung gandum, minyak masak dan telur dikenakan pada kadar sifar. Kadar sifar juga dikenakan kepada pengguna domestik bagi penggunaan elektrik bulanan sehingga 200 kWh dan penggunaan air.

- Bekalan ternakan seperti lembu, kerbau, kambing, ayam, itik dan khinzir.

- Eksport barangan dan perkhidmatan untuk menjadikannya lebih berdaya saing di luar negara.

Bekalan dikecualikan cukai

Bagi mengurangkan beban cukai kepada penduduk awam, pengecualian GST diberikan kepada perkhidmatan pengangkutan awam, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan swasta, perkhidmatan kewangan dan insurans hayat, tanah bagi tujuan pertanian, kediaman dan lain-lain kegunaan umum seperti tanah perkuburan.

Tiada GST dikenakan bagi perkhidmatan kerajaan negeri atau Persekutuan.

Bekalan berkadar standard

- Bekalan barangan dan perkhidmatan boleh cukai dikenakan cukai pada kadar standard. Peniaga layak untuk menuntut kredit cukai input perniagaan.

- Had nilai jualan tahunan RM500,000 dicadangkan bagi tujuan pendaftaran syarikat. Langkah ini mengecualikan peniaga kecil daripada mengutip GST.

Inisiatif laksana GST

Kerajaan sudah mengambil beberapa langkah memastikan GST dapat dilaksanakan secara lancar dan teratur seperti berikut:

- Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 memberi kuasa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap pengambilan keuntungan secara berlebihan.

- Amalan perdagangan adil dikuatkuasakan melalui Akta Persaingan 2010, 1 Januari 2012.

- Menerbitkan senarai panduan pengguna yang merangkumi 944 produk dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi memberi maklumat yang lebih jelas, meningkatkan kesedaran mengenai harga sebelum dan selepas pelaksanaan GST.

- Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) secara aktif mengadakan seminar, bengkel dan promosi bergerak di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran mengenai GST dalam kalangan kumpulan profesional, agensi Kerajaan, komuniti perniagaan, kumpulan pengguna dan organisasi bukan kerajaan (NGO). Sehingga kini, lebih 4,600 program kesedaran telah dilaksanakan secara bersama dengan agensi awam, persatuan perdagangan dan NGO di seluruh negara membabitkan 200,000 peserta.

- Publisiti melalui media untuk menyebar maklumat pelaksanaan dan manfaat GST kepada peniaga dan masyarakat.

- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan dibantu melalui program latihan intensif dan khidmat rundingan dan memantapkan JKDM melalui latihan, pengambilan kakitangan tambahan dan penyediaan peralatan IT bagi melancarkan pelaksanaan GST.

Kesimpulan

Melalui GST, kekurangan dalam pelaksanaan cukai jualan dan cukai perkhidmatan dapat ditangani. GSTmemberi lebih kesaksamaan sosial dan kecekapan dalam ekonomi memandangkan ia dikenakan ke atas penggunaan, bukan pelaburan atau keuntungan perniagaan. GST meluaskan asas percukaian, meningkatkan kepatuhan dan kutipan hasil kerajaan dan GST juga amat penting bagi melindungi kebajikan golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejas serta menggalakkan perbelanjaan berhemat dalam kalangan rakyat.

INFO

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

- Berkuat kuasa 1 April 2015

- Kadar GST Malaysia 6 peratus paling rendah di Asean. Thailand dan Singapura 7 peratus

- Lebih 160 negara lain laksanakan GST di antara 10 hingga 12 peratus.

- Barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan minyak masak tidak dikenakan GST.

- Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik tidak dikenakan GST.

- GST dikecualikan daripada perkhidmatan disediakan kerajaan seperti pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah, perkhidmatan pengangkutan (bas, kereta api, LRT, feri, teksi, tol lebuh raya), jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan terpilih.

- Apabila GST dilaksanakan pada 2015, kerajaan akan beri bantuan tunai RM300 sekali bayar kepada penerima isi rumah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), cukai individu dikurangkan 1 hingga 3 mata peratusan dan struktur cukai pendapatan individu disusun semula.

No comments:

Post a Comment