GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Bajet 2014 kompetitif, berpijak di bumi nyata


Publication: HM
Date of publication: Oct 26, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 024
Byline / Author: Oleh Noor Mohamad bin Shakil Hameed

Usaha mencerna ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara berterusan menjadi teras utama Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen, semalam.

Istimewanya, apa diminta, dicadangkan dan diharapkan rakyat ditunaikan kerajaan melalui bajet ini di samping meneruskan dasar berhemah diperkenalkan Najib untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Ia bertepatan dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Seperti lazimnya, Bajet 2014 banyak diperuntukkan untuk projek pembangunan selain memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Tumpuan telah diberikan dalam aspek penyediaan rumah mampu milik, kawalan harga rumah, pengangkutan awam lebih baik, keselamatan awam, kemudahan pendidikan, peluang perniagaan dan pelaburan yang meluas memberi faedah kepada rakyat.

Ia membawa manfaat besar kepada masyarakat di semua peringkat. Bajet ini amat menarik, kompetitif dan menyeluruh, sekali gus membuktikan ia lebih realistik, berpijak di bumi yang nyata dan mempunyai hala tuju.

Bajet ini membabitkan peruntukan keseluruhan RM264.2 bilion dengan defisit 3.5 peratus menunjukkan sedikit peningkatan berbanding RM251.6 bilion dengan defisit 4.0 peratus pada Bajet 2013.

Ini menunjukkan kerajaan sama sekali tidak mengurangkan peruntukan Bajet 2014 seperti dijanjikan sebelum ini walaupun persekitaran ekonomi dunia kurang memberangsangkan.

Apa yang pasti Bajet 2014 bertemakan 'Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji' dengan lima fokus utama iaitu merancak aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, mengunggul modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar serta menjamin kehidupan rakyat.

Antara intipati Bajet 2014 menarik dan hadiah istimewa kepada rakyat ialah insentif kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) misalnya bukan saja diteruskan malah dipertingkatkan di mana BR1M 3.0 akan dinikmati pada kadar RM650 oleh isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah berbanding RM500 sebelum ini.

Individu bujang akan menikmati kenaikan daripada RM250 kepada RM300 dan memperkenalkan satu lagi kategori iaitu isi rumah antara pendapatan RM3,000 ke RM4,000 akan menikmati BR1M pada kadar RM450.

Kos tanggungan ibu bapa diringankan melalui bantuan persekolahan sebanyak RM100 seperti sebelum ini. Malah, baucar buku kepada pelajar institusi pendidikan tinggi masih diteruskan sebanyak RM250.

Bagi mengatasi keluh kesah rakyat untuk memiliki rumah pada harga berpatutan, kerajaan dengan kerjasama swasta akan membina 223,000 unit rumah.

Daripada jumlah itu, 16,473 unit rumah akan dibina Jabatan Perumahan Negara (JPN) menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan peruntukan RM578 juta.

Bagi mengekang kenaikan harga rumah serta spekulasi harga hartatanah, kerajaan bersetuju mengkaji semula cukai keuntungan harta tanah (RPGT).

Bagi membantu meningkatkan pendapatan petani, kerajaan akan menambah pembukaan 60 pasar tani, 50 pasar ikan dan 50 karavan tani selain 100 gerai buah-buahan segar di seluruh negara oleh FAMA dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tahun depan.

Di samping itu kerajaan juga akan memperuntukkan RM2.4 bilion bagi meneruskan bantuan subsidi dan insentif merangkumi subsidi baja, benih dan harga padi bagi meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar.

Bagi mengurangkan harga barangan dan perkhidmatan, kerajaan akan memansuhkan cukai jualan dan perkhidmatan.

Dan sebagai langkah penambahbaikan, kerajaan akan melaksanakan satu sistem cukai teratur iaitu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015 pada kadar 6 peratus.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid, Malaysia berada dalam zon kritikal jika tidak melaksanakan GST kerana ia keperluan signifikan kerajaan.

GST secara umumnya meringankan bebanan rakyat berbanding cukai jualan dan perkhidmatan di premis-premis premium selama ini.

Kesimpulan, bajet kali ini terus memfokuskan kepada kehendak segenap lapisan rakyat selain cukup berhemah dalam aspek perbelanjaan.

Semoga semua pihak dapat menikmati hasil kemakmuran melalui pembangunan yang mampan seperti yang direncanakan melalui bajet kali ini.

Penulis Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM

No comments:

Post a Comment