GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, January 13, 2014

Penerangan hingga ke akar umbi


Oleh NAZARUDIN SHAHARI 
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my
Mohamad Hasan diiringi Ahmad Maslan bersalaman dengan peserta pada
Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional Negeri di Kompleks Penyiaran
Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. -Utusan/ ASWAD YAHYA
SEREMBAN 12 Jan. - Kerajaan negeri akan menggiatkan sesi penerangan sehingga ke akar umbi mengenai usaha kerajaan menstruktur semula sistem cukai dan subsidi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu penting bagi membolehkan rakyat memahami dengan betul mengenai tindakan kerajaan dan mengelak mereka daripada membuat pelbagai tafsiran negatif.

Kata beliau, kerajaan negeri akan mendapatkan bantuan Kerajaan Pusat terutamanya Kementerian Kewangan bagi membolehkan orang ramai di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri berpeluang mendengar penjelasan itu.

"Perkara ini ibaratnya seperti membiarkan diri kita dalam kegelapan. Manusia yang duduk di dalam gelap biasanya akan rasa takut dan ketakutan itu mendorong mereka membuat bermacam-macam andaian yang tidak benar.

"Begitu juga dengan orang yang takut dengan matapelajaran matematik. Mereka berasa takut kerana tidak faham. Tetapi jika mereka faham sudah tentu orang berkenaan akan kata bahawa matematik adalah matapelajaran yang paling senang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) peringkat negeri di Kompleks RTM Sungai Gadut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Lebih 1,000 orang yang terdiri daripada kakitangan awam, ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, usahawan dan pelajar universiti menghadiri seminar berkenaan.

Seminar itu antara lain bertujuan memberi penerangan mengenai tiga agenda besar ekonomi negara iaitu Bajet 2014, pemerkasaan ekonomi bumiputera dan kebaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan Seminar Pena yang pertama di Kuala Lumpur pada 24 November tahun lalu.

Mohamad menarik perhatian, tindakan kerajaan menstruktur semula sistem cukai dan subsidi bertujuan mempertahankan ekonomi negara sesuai dengan peredaran masa.

"Bagaimanapun, ketika berbuat demikian, kerajaan tidak akan lari daripada tanggungjawabnya membantu orang susah dan miskin seperti mana yang telah dilakukannya sejak sekian lama," ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment