Apabila Pakatan Rakyat (PR) meletakkan syarat ketat dan tegas kepada kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mesti dipenuhi sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh dilaksanakan, BN dan pengkritik menyelar kami sebagai hanya mahu membangkang.
Pakatan tidak tahu mentadbir, dakwanya. Akhirnya ada firma audit besar yang berani bersuara. Maksudnya perlu difahami.
Dengan kenyataan Pengarah baru KPMG, antara firma audit terbesar, the Big Four itu terserlah hakikat senario yang mendatang. Sukar untuk mereka menyatakan sikap dan pendirian yang tegas seperti itu kerana tentunya ada kepentingan bisnes dengan Putrajaya.
Namun KPMG menggesa supaya pihak awam dan swasta menaikkan gaji pekerja sebanyak 6% berdepan dengan pelaksanaan GST tahun depan, April 2015.
Ini kerana, katanya, kos barangan dan perkhidmatan yang semua mengalami kenaikan harga. Untuk ingatan umum, pelbagai subsidi ditarik balik bermula, sekali gus mencetuskan kenaikan 11% bahan bakar, 14% gula serta kenaikan tarif elektrik daripada 15% hingga 16.9%, tol dan pengangkutan awam dan pelbagai lagi.
Persoalan yang tidak digarap oleh KPMG adalah bagaimana pula dengan golongan tidak bergaji untuk dinaikkan. Mereka adalah rakyat yang terdiri daripada golongan petani sawah, pekebun kecil, nelayan dan peniaga pasar malam dan yang mengambil upah bekerja di kampung.
Pendapatan mereka kekal pada takuk lama sementara kos sara hidup terus melambung. Bahkan sebaliknya ada peniaga di kalangan mereka berdepan dengan pengurangan pendapatan, apabila rakyat umumnya mengalami penguncupan kuasa membeli dengan kenaikan harga barang.
Inflasi diramalkan di paras 2.9% pada 2014 sehingga ke paras setinggi 3.3% tahun depan. Ramalan inflasi ke tahap Harga Pengguna (CPI) mencecah 3.3% ke 3.5% adalah ganas atau ‘vicious’.
Sementara pihak eksekutif akan mendapat kenaikan gaji sebanyak 5.63% berbanding 6.31% pada tahun 2012 dan golongan bukan eksekutif akan mendapat kenaikan ke 5.65% berbanding 6.7% pada 2012. Dapatan ini adalah daripada informasi Persekutuan Majikan Malaysia (MEF). Pelaksanaan gaji minima sepatutnya membantu golongan pekerja sokongan dan bukan eksekutif diharap mendapat bonus lebih baik.
Sekali lagi golongan yang tidak terbela adalah golongan bekerja sendiri, yang akan menjadi sasaran. GST jelasnya akan memangsakan golongan berpendapatan rendah dan yang bekerja sendiri. Ini yang dimaksudkan dengan kesan "regressif" atau ‘songsang’ kerana 6% GST daripada ‘pendapatan boleh berbelanja’ berpendapatan rendah ini adalah jauh lebih besar peratusya berbanding golongan berpendapatan tinggi.
Sehubungan itu, hujah meletakkan syarat pelaksanaan GST adalah munasabah dan antaranya;
a. Tingkatkan dahulu pendapatan rakyat khususnya golongan rendah dan sederhana.
b. Tutup dahulu lubang kebocoran bagi meningkatkan pendapatan kerajaan dan kenalkan cukai seperti CGT dahulu atau Capital Gain Tax atau cukai untung modal seperti saham dan bon. Contoh yang dilaksanakan kerajaan sekarang ialah cukai keuntungan menjual hartanah atau cukai RPGT.
c. Pastikan dahulu amalan tender terbuka bagi mendapatkan 'value for money' iaitu nilai terbaik dan elakkan amalan runding langsung dengan “harga membengkak"atau "bloated prices".
d. Elakkan dahulu pembaziran dan projek mega infrastuktur yang didakwa pakar integriti adalah sarat dengan amalan 'kickback', rasuah dan amalan kronisme dan selalu berakhir dengan ‘cost-overrun’ yang besar. (Combating Corruption, Anis Yusal et al).
Oleh itu, kami tegaskan jangan memangsakan rakyat kerana untuk tangani kebejatan hutang kerajaan pusat dan defisit fiskal dengan menarik balik subsisdi dan mengenakan cukai regressif seperti GST adalah satu langkah ‘jalan pintas’ yang tidak bertanggungjawab.
Reformasi struktural serta penambahbaikan
Dalam aspek tadbir urus serta komitmen kepimpinan untuk mendayakan pelbagai polisi.
Laksanakan langkah yang lebih utama dan mapan yang dicadangkan pelbagai pihak dahulu termasuk Pakatan Rakyat.
Sesungguhnya KPMG, sebagai sebuah entiti korporat juga tahu bahawa impak kewangan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan tambahan dengan GST adalah sangat berat dan parah kepada rakyat teramai.
Itu tidak lagi mengambil ramalan impak sosial, gejala jenayah termasuk kemalangan apabila rakyat mula membuat segala-galanya untuk menyara kehidupan keluarga dengan merubah cara hidup termasuk naik motosikal ke pejabat dan cari pekerjaan kedua atau ketiga yang mengancam kesejahteraan hidup berkeluarga.
Apakah cukup untuk KPMG dan seangkatan dengannya sekadar membuat saranan? – 9 Januari, 2014.
* Dr Dzulkefly Ahmad ialah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment