GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, January 13, 2014

Ahli ekonomi jangka peningkatan muflis akibat pemotongan subsidi

JANUARY 09, 2014

Jumlah mereka yang muflis di Malaysia dianggarkan meningkat akibat pemotongan subsidi gula, minyak serta kenaikan tarif elektrik dan barangan rumah lain yang secara langsung menaikkan kos kehidupan.

Dalam laporan akhbar Singapura, Straits Times hari ini, terdapat lebih 60 rakyat yang diisytiharkan muflis setiap hari sehingga September, iaitu naik daripada 53 sehari pada 2012.

Ketua ekonomi RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng, berkata berikutan pemotongan subsidi kerajaan serta kenaikan harga barangan untuk menyelesaikan masalah kewangan negara, jumlah warga Malaysia yang muflis bakal meningkat.

"Kita menganggarkan jumlah tunggakan hutang akan naik, terutama sekali di kalangan pekerja muda di syarikat swasta yang mempunyai kad kredit dan pinjaman peribadi tetapi tidak berpendapatan secukupnya untuk menanggung pembelanjaan mereka.

"Soalannya adalah berapa banyak yang akan muflis, itu yang amat membimbangkan," katanya kepada akhbar itu.

Bagaimanapun, katanya, 'pinjaman tanpa bayaran' masih boleh dikawal buat masa sekarang tetapi sudah timbul tanda ia akan menjadi lebih teruk.

Hutang kad kredit sudah meningkat, jumlah yang dihutang kepada bank dalam jangka masa lebih enam bulan hingga November lalu adalah RM426.4 juta berbanding RM402 juta pada jangka masa yang sama pada 2012.

Pegawai Ketua Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Koid Swee Lian, berkata pengguna kad kredit juga harus 'menyalahkan diri sendiri'.

"Di Malaysia hanya separuh pengguna kad kredit membayar lebih daripada jumlah minimum yang diperlukan iaitu 5% daripada hutang bank setiap bulan, di mana negara lain seperti Korea dan Jepun membayar 89% dan 87%," katanya.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa hutang isi rumah Malaysia iaitu 83.5% adalah antara tertinggi di rantau ini kerana rakyat Malaysia banyak bergantung kepada pinjaman wang bagi pembelian rumah dan kereta serta pembelajaan rumah yang lain.

Ia melaporkan bahawa seorang rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Malik mempunyai hutang sebanyak RM100,000 disebabkan hutang daripada tujuh kad kredit.

Malik, 50, yang berpendapatan RM3,000 sebulan sekarang bergantung kepada AKPK untuk bantuan pengurusan wang.

"Kita hanya membeli barangan harian, barang dapur, petrol, kos baiki kereta, tetapi kerana pendapatan saya tidak cukup untuk membayar hutang, kita menggunakan kad kredit lain untuk membayar hutang kad kredit.

"Sebelum kita sedar, kita hilang kawalan berbelanja,” katanya.

Akhbar itu berkata, seorang jurujual berusia 26 tahun kini bertungkus lumus membayar hutang sebanyak RM10,000 yang dipinjamnya untuk membayar bil hospital ketika beliau ditimpa kemalangan.

Beliau hanya berpendapatan RM2,300 dan tidak mempunyai sebarang kad kredit, tetapi beliau tetap menerima bantuan AKPK.

"Orang seperti kami tidak hidup dalam kemewahan. Sedangkan insurans pun adalah satu kemewahan,” katanya.

Sejak tahun lalu, Putrajaya mengumumkan langkah penjimatan selepas tekanan meningkat daripada defisit kewangan negara, yang membuatkan hutang negara tinggi.

Antaranya adalah memotong subsidi untuk minyak, gula dan menaikkan harga cukai untuk tembakau.

Tarif Elektrik dan cukai taksiran hartanah di Kuala Lumpur juga dinaikkan dan kini Putrajaya sedang berbincang kenaikan kadar tol dan tambang pengangkutan awam tahun ini.

Cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga diumumkan dalam Bajet 2014 dan akan dikuatkuasakan April tahun depan. – 9 Januari, 2014.

1 comment: