Publication: BH
Date of publication: Jan 11, 2014
Section heading: 1Klassifieds
Page number: 001
Tujuan utama kerajaan mengaplikasikan GST adalah kerana ingin memperbaiki sistem cukai yang sedia ada di negara ini. Sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang digunapakai buat masa ini mempunyai beberapa kelemahan.
Cukai bertindih, isu pindahan harga dan pindahan lain, tiada pelepasan cukai sepenuhnya ke atas barang yang dieksport, tidak menggalakkan integrasi menegak dan karenah birokrasi adalah antara faktor yang menyumbang kepada kelemahan cukai yang sedia pakai sekarang.
Kelemahan-kelemahan ini menyebabkan kerugian kepada kedua pihak sama ada pengguna mahupun kerajaan. Dengan pelaksaan GST, kerajaan dapat menyusun semula cukai dalam mengaplikasikan sistem percukaian yang lebih cekap, berkesan, telus, mesra perniagaan dan berupaya menjana punca hasil yang lebih stabil.
Tambahan pula, kebanyakan negara maju mahupun pertengahan telah pun mempraktikkan sistem ini dalam pentadbiran negara mereka. Kerajaan berpendapat bahawa GST ialah satu sistem cukai yang telus, berkesan dan adil.
Selain itu, bukan semua barangan yang akan dikenakan cukai GST. Barangan keperluan asas seperti beras, ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, gula, tepung dan minyak masak adalah bebas daripada cukaiGST.
Sementara itu, jual beli dan penyewaan hartanah pertanian dan rumah kediaman dan perkhidmatan seperti kesihatan dan pendidikan swasta serta pengangkutan awam juga adalah dikecualikan daripadaGST.
Umum sudah mengetahui bahawa sektor dan barangan asas ini amat penting dalam jiwa dan juga kelangsungan hidup rakyat terutamanya mereka dari golongan pertengahan dan rendah.
Ini adalah kerana perkara ini adalah keperluan asas mereka dan jika dikenakan GST, sudah tentulah beban yang mereka pikul akan bertambah. Jadi, rakyat tidak perlulah bimbang akan kenaikan harga barang keperluan ini. Boleh jadi juga barangan keperluan asas ini akan turun harga dek kerana pemansuhan cukai jualan dan cukai perkhidmatan nanti.
Manakala buat masa ini barang yang diimport tertakluk kepada duti import dan cukai jualan melainkan barang berkecuali. Di bawah GST, barang import masih lagi tertakluk kepada cukai jualan akan tetapi cukai jualan akan digantikan dengan GST.
Sama ada barang import tersebut menjadi lebih murah atau mahal akan bergantung kepada beberapa faktor lain. Jika barangan import menjadi lebih mahal, disitulah pengguna mula memainkan peranan.
Pengguna haruslah bijak menilai barang yang diperlukan dan elakkan daripada membeli sesuatu barang jika tidak memerlukan. Terutamanya bagi golongan rendah dan pertengahan, jika tidak mampu membeli barangan import, maka belilah barangan tempatan yang lebih murah harganya. Jika dipandang dari sudut positif, barangan tempatan akan menjadi tumpuan pengguna.
Jika barangan tempatan menjadi tumpuan pengguna, ia sekaligus dapat memacu pembangunan ekonomi negara kita.
KERAJAAN PRIHATIN
Kerajaan telah melakukan kajian dari semua sudut sebelum menguatkuasakan cukai ini. Jika ia membebankan rakyat terutamanya mereka dari golongan rendah dan pertengahan, sudah tentulah kerajaan tidak akan melaksanakan sistem GST ini. Tambahan lagi, rakyat haruslah faham akan hasil pendapatan daripada GST ini juga akan digunakan untuk manfaat rakyat bersama.
Hasilnya akan digunakan untuk membaik pulih mana-mana bahagian yang perlu diperbaiki baik dari segi fasiliti mahupun pentadbiran. Semuanya demi keselesaan rakyat sendiri.
Boleh jadi juga akibat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang menjadikan rakyat semakin tertekan dan trauma. Belum lagi reda akan bahang kenaikan harga minyak dan rumah baru-baru ini, kemudian dikejutkan dengan penarikan subsidi gula dan sekarang pelaksanaan GST pula.
Oleh kerana itu, pihak kerajaan haruslah memberi jaminan akan pelaksanaan GST ini tidak akan menambahkan lagi bebanan rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Jaminan ini hendaklah ditekankan dari masa ke masa mulai sekarang dan juga pada masa hadapan agar dapat melegakan perasaan mereka yang kian gusar akan masa depan mereka.
Selain itu, pendedahan tentang GST juga haruslah dilakukan dengan lebih kerap agar pemahaman rakyat tentang GST lebih mendalam dan meluas. Pendedahan yang dilakukan juga haruslah lebih jelas dan kreatif kerana kebanyakan orang lebih suka dan tertarik akan maklumat yang mudah difahami dan cara penyampaian yang kreatif.
Medium-medium seperti media sosial dan youtube haruslah digunakan sebaik mungkin dalam menyampaikan pemahaman tentang GST ini.
- Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur; PKPKL@hotmail.com
No comments:
Post a Comment