Publication: HM
Date of publication: Jan 11, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 036
Byline / Author: Oleh Iskandar Shah Mohamed; Amir Abd Hamid
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan siri perhimpunan haram berkaitan isu semasa lebih banyak berlaku tahun ini berbanding 2013.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya juga menjangka usaha mengadakan perhimpunan haram akan berterusan sehingga pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada pertengahan 2015.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak termasuk PDRM harus bersiap-sedia berdepan dengan kemungkinan itu yang antara faktornya disebabkan masalah sosioekonomi semakin mencabar.
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 26 perhimpunan haram dianjurkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk himpunan di Dataran Merdeka, menjelang sambutan tahun baru 2014 pada malam 1 Januari lalu.
"Penganjur (perhimpunan haram) membabitkan pihak berkepentingan yang berkolaborasi dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang memainkan sentimen rakyat bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan memerintah," katanya dalam wawancara khas bersama Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini, semalam.
Menurutnya, antara isu dibangkitkan ialah Lynas, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tuntutan hak asasi oleh kumpulan Lesbian Gay Biseksual Transgender (LGBT).
Selain itu, ia juga membabitkan isu penggunaan kalimah Allah oleh pihak bukan Islam, kenaikan harga barang dan spekulasi kenaikan bayaran tol, peningkatan kos sara hidup serta ura-ura kenaikan cukai taksiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Isu kenaikan harga barang yang tidak selari dengan penambahan pendapatan akan mengundang lebih banyak himpunan dan protes dari rakyat. Keadaan ini akan berlarutan dan memuncak pada pertengahan 2015 apabila GST diperkenalkan.
"Isu-isu politik dijangka akan terus dimainkan (untuk berdemonstrasi) oleh pihak berkepentingan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya seterusnya," katanya.
Bagaimanapun, katanya, berlandaskan visi dan misi PDRM, pihaknya pasti dapat mengharungi segala cabaran keselamatan dan ketenteraman awam dengan berkesan sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, banyak pihak selalu mengatakan polis sepatutnya membenarkan demonstrasi aman, namun hakikatnya tidak pernah ada di negara ini demonstrasi yang benar-benar aman.
"Tak pernah ada demonstrasi di negara kita ini yang benar-benar aman. Polis perlu mengambil semua langkah yang patut untuk bersedia apa juga kemungkinan yang berlaku.
"Jadi, itu sebabnya Akta Perhimpunan Aman (APA) dibuat antaranya untuk memberi ruang kepada orang ramai menyuarakan apa juga dengan cara yang teratur. Malangnya mereka tak mahu ikut, lepas itu salahkan kita kerana tidak membenarkan demonstrasi aman.
"Dulu ada Seksyen 27 Akta Polis, tak dibenarkan langsung berhimpun dan kita mengambil tindakan. Akhir tahun lalu, ada kenyataan dikeluarkan di media alternatif menjatuhkan kerajaan, adakah kita kena berdiam diri saja.
"Jika tiada langkah menyekat dibuat, ada nanti pihak akan mengatakan seruan itu benar dan menyertainya, masa itu terlambat," katanya.
Khalid berkata, polis akan memanggil semua penganjur perhimpunan yang melanggar peruntukan APA termasuk tidak memaklumkan kepada polis terlebih dulu.
No comments:
Post a Comment