GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Penstrukturan cukai kurang beban rakyat



Publication: BH
Date of publication: Oct 31, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 009
Byline / Author: Oleh Norfatimah Ahmad

Petaling Jaya: Pakej lengkap dirangka untuk tidak membebankan rakyat, termasuk penjimatan hampir RM2,000 bagi golongan sederhana dengan pendapatan RM100,000 setahun bagi menyokong pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), berkuatkuasa 1 April 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata penstrukturan semula sistem percukaian untuk memperluaskan asas pendapatan negara ini juga bagi memastikan ia tidak memberi impak terhadap peningkatan kos atau harga barangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, antara pakej bantuan yang dirangka adalah tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM300 pada tahun pertama pelaksanaan GST, tambahan BR1M kepada RM650 bagi yang berpendapatan kurang RM3,000 dan BR1M sebanyak RM450 bagi yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000.

Pelepasan cukai

"Bagi golongan berpendapatan sederhana iaitu pendapatan RM8,000 sebulan pula, mereka diberi pelepasan cukai antara satu hingga tiga peratus, sekali gus boleh mencatat penjimatan sehingga RM480, manakala bagi individu dengan pendapatan tahunan mencecah RM100,000 pula, penjimatan yang bakal diperoleh adalah RM1,950," katanya pada program bual bicara Soal Jawab di TV3, malam tadi.

Program yang dihoskan Datuk Ahmad A Talib itu mengupas isu berkaitan Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu, termasuk keputusan kerajaan melaksanakan GST dalam tempoh 17 bulan lagi.

Abdul Wahid berkata, berdasarkan kajian GST dijangka menyebabkan peningkatan kos sehingga 1.8 peratus pada tahun pertama ia diperkenalkan, bagaimanapun beban itu dapat dikurangkan dengan bantuan tambahan yang disediakan kerajaan.

Selain itu, katanya, rakyat tidak perlu bimbang kerana tidak semua barangan boleh dikenakan GST, manakala hanya perniagaan yang mencatat kadar jualan minimum RM500,000 layak mengenakan cukai itu.

"Tidak dinafikan maklumat berkaitan GST yang dihebahkan kepada masyarakat adalah mengelirukan walaupun sebenarnya ia cukai yang adil untuk rakyat kerana yang berpendapatan tinggi akan berbelanja dan membayar GST, manakala bagi peniaga pula ia cukai yang efisyen kerana membantu mereka memperoleh kutipan hasil atau pulangan," katanya.

160 negara laksana GST

Beliau berkata, setakat ini tujuh negara ASEAN termasuk Indonesia yang memperkenalkannya sejak 1984 serta 160 negara di dunia melaksanakan GST kerana ia diiktiraf struktur percukaian baik, menyeluruh dan efisyen.

Katanya, di Malaysia perbincangan berhubung pelaksanaan cukai itu dibincangkan sejak 2006 sebelum rang undang-undang berkaitan cukai itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2009 tetapi ditangguhkan.

"Bagaimanapun kini sudah tiba masanya untuk kita melaksanakannya, terutama dengan adanya pakej menyeluruh dan kadar sederhana iaitu enam peratus yang dianggap munasabah kerana kita tidak mahu pendapatan negara berkurangan.

"Pembangkang juga diminta supaya berhenti mempolitikkan isu ini kerana ia dilakukan untuk kebaikan rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata, dengan kadar enam peratus itu, negara akan memperoleh RM23 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama pelaksanaan GST, manakala dalam tempoh setahun pula ia akan mencecah RM32 bilion dan seterusnya mencatat sedikit lebihan apabila ditolak BR1M dan dan pengurangan cukai kepada individu dan syarikat.

No comments:

Post a Comment