GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, March 21, 2014

Pastikan kebajikan tidak terabai


ARKIB : 19/03/2014
Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my
HAMIM Samuri (kanan) bersalaman dengan bekas anggota tentera pada majlis perasmian
Seminar Kesedaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Muar, Johor, baru-baru ini.
- UTUSAN/ISHAK RAHMAD
MUAR 18 Mac - Semua ketua cawangan dan ahli jawatankuasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di negeri ini perlu mengenal pasti veteran tentera yang memerlukan terutama orang kurang upaya (OKU) supaya bantuan RM500 dapat disalur dalam tahun ini.

Naib Presiden 1 PBTM, Mejar (B) Sazali Ismail berkata, bantuan akan diberi kepada ahli dan bukan ahli bagi memastikan kebajikan mereka tidak terabai.

"Mereka terutama veteran OKU terdiri daripada bekas tentera yang ditimpa kecelakaan semasa bertugas atau selepas bersara. Jika bekas tentera itu dipotong kakinya akibat kencing manis, mereka turut mendapat bantuan.

"Dana ini daripada Tabung Hari Pahlawan dengan 70 peratus diperuntukkan untuk menjaga kebajikan termasuk veteran tentera OKU," katanya yang berucap dalam Seminar Kesedaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di sini kelmarin.

Seminar itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; Timbalan Pengarah Kastam negeri, Abdullah Sidik dan Ketua PBTM Cawangan Muar, Shamsudin Rais.

Sazali memberitahu, setakat ini, bantuan tersebut sudah diberikan di Kajang, Selangor dan diteruskan di Negeri Sembilan pada 29 Mac ini sebelum diteruskan ke negeri lain.

Sementara itu, Hamim berkata, GST bukan satu sistem baharu di rantau ini kerana hampir kesemua negara kecuali Malaysia, Brunei dan Myanmar yang masih belum menggunakannya.

Sedangkan kata beliau, GST merupakan satu transformasi ke arah kebaikan kepada kerajaan dan rakyat kerana cukai dapat dikutip dengan lebih berkesan tanpa ketirisan.

"GST menggantikan sistem pungutan cukai sedia ada. Pungutan cukai bukan perkara baharu kerana sudah diamalkan sejak pemerintahan kerajaan Melayu Melaka lagi sebelum dilakukan perubahan demi perubahan," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment