Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), menyokong penuh usaha kerajaan dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup dan cadangan meningkatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan sebanyak RM300.
Presiden Fomca Datuk N. Marimuthu (gambar) berkata inisiatif itu sememangnya jelas memperlihatkan usaha murni kerajaan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan.
"Kami alu-alukan apa jua kebaikan yang kerajaan buat demi kesejahteraan rakyat dan saya merasakan kenaikan bantuan BR1M itu adalah penting.
"Pemberian BR1M oleh kerajaan bukan sahaja memberi faedah kepada rakyat berpendapatan rendah malah peniaga juga akan menikmati keuntungan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Justeru, katanya, konsep BR1M sememangnya bertujuan untuk membantu rakyat dan membawa kebaikan walaupun mungkin sebilangan berpendapat bantuan yang diberikan tidak seberapa.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda menyambut baik kenaikan BR1M tahun depan dalam membantu golongan memerlukan mengurangkan beban kos sara hidup khususnya penjawat awam.
"Kami berasa bangga kalau kerajaan memutuskan tahun depan BR1M ditambah sebanyak RM300 kerana ini adalah sumbangan bersasar yang kerajaan sampaikan kepada kumpulan berpendapatan rendah termasuk juga separuhnya adalah penjawat awam," katanya.
Bagaimanapun Azih tetap berpendapat kerajaan harus meneliti kembali kadar gaji minimum penjawat awam untuk dinaikkan kepada RM1,200 bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan semalam menjelaskan bahawa setiap penerima BR1M bakal mendapat tambahan RM300 seorang sebagai menampung kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 1.8%, berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.
BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.
Pada tahun ini, BR1M 3.0 telah dilaksanakan dan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450 dan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah menerima bantuan sebanyak RM650, sementara individu bujang yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan menerima bantuan RM300.
Program BR1M 3.0 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4.2 bilion daripada kerajaan, memanfaatkan hampir 4.63 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang. – Bernama, 20 Mac, 2014.
No comments:
Post a Comment