GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, March 19, 2014

15,542 Pengusaha Restoran Dijangka Kutip GST


KUALA LUMPUR – Sebanyak 15,542 restoran dijangka mengutip Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila ia dilaksanakan 1 April tahun depan.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata jumlah itu meningkat berbanding ketika cukai perkhidmatan dikenakan iaitu 4,357 restoran.
“GST merupakan satu daripada langkah kerajaan menyusun semula struktur percukaian negara supaya lebih telus, cekap dan mesra peniaga,” katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan kepentingan semua lapisan masyarakat diambil kira, GST akan dikecualikan bagi kategori barangan keperluan asas dan perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan swasta, pengangkutan awam, tol dan rumah kediaman.
Ahmad berkata, kajian Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendapati golongan berpendapatan RM1,000 ke bawah membelanjakan lebih 33.4 peratus daripada pendapatan mereka ke atas makanan dan minuman manakala 31.4 peratus lagi bagi perumahan, air, elektrik dan bahan api lain.
Ahmad berkata, dengan jumlah 64.8 peratus itu, hampir kesemua barangan dan perkhidmatan itu dikecualikan daripada GST.
Selain itu, beliau berkata sehingga bulan lepas, 4,967 program kesedaran dan latihan GST dijalankan dan dihadiri 271,288 individu terdiri daripada golongan sasar iaitu pengguna, jabatan kerajaan, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Bagi golongan peniaga yang merupakan kumpulan kritikal dalam pelaksanaan GST, kerajaan telah merangka dan sedang menjalankan program taklimat dan latihan melalui tiga kaedah iaitu sama ada dianjurkan oleh kerajaan atau pihak swasta ataupun secara bersama oleh kerajaan dan swasta,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, Ahmad berkata kerajaan akan memberi tambahan bantuan tunai secara ‘one-off’ atau sekali pembayaran berjumlah RM300 kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan bagi menampung kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) akibat pelaksanaan GST.
Beliau berkata jumlah bantuan itu akan membabitkan peruntukan RM2.5 bilion yang merupakan sebahagian kutipan hasil GST pada tahun terbabit.
“Jika kerajaan umum nilai BR1M tahun depan RM700, maka tambah RM300 akan dapat RM1,000, jika RM800, maka nilainya RM1,100, jika lebih maka lebihlah lagi rakyat dapat (BR1M),” katanya.
Beliau berkata, mekanisme lain yang akan dilaksanakan ialah pengurangan cukai pendapatan persendirian sebanyak satu hingga tiga peratus membabitkan peruntukan RM2.44 bilion. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment