GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, August 30, 2013

RM4.2b untuk Bumiputera


2013/08/30 - 06:11:44 AM Oleh Magendran Rajagopal

Putrajaya: Kerajaan menyediakan peruntukan khas tambahan sebanyak RM4.2 bilion untuk empat lagi projek mega yang akan diagihkan kepada syarikat Bumiputera. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata peruntukan di bawah inisiatif peruntukan khas Bumiputera itu memberi peluang kepada syarikat terbabit menyertai projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, Pembangunan Tanah RRI Sungai Buloh dan Pusat Pameran MATRADE. 

Buka peluang 

"Sebanyak 40 peratus daripada nilai projek ini diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera yang secara langsung membuka peluang kontrak bernilai RM4.2 bilion," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB), di sini semalam. 

Ada antara empat projek itu sedang dilaksanakan seperti Pusat Pameran Matrade, manakala Menara Warisan masih di peringkat awal dan tempoh pelaksanaan sedang diputuskan. Projek Bukit Bintang City Centre pula dalam peringkat penentuan dari segi permohonan untuk cadangan, manakala Pembangunan Tanah RRI dijangka dimulakan tidak lama lagi. 

Empat projek ini mempunyai garis masa berbeza tetapi dijangka dalam lima tahun akan datang, projek ini akan dilaksanakan dan ada yang siap sepenuhnya, katanya. 

Najib berkata, MTAB membincangkan kedudukan keseluruhan ekuiti korporat Bumiputera dan mengikut perangkaan Unit Perancang Ekonomi (EPU), ekuiti korporat Bumiputera meningkat daripada 23.09 peratus pada 2010 kepada 23.45 peratus pada 2011. 

Penyertaan Bumiputera 

MTAB juga berpendapat langkah lebih berkesan perlu untuk memantapkan penyertaan Bumiputera, terutama pemilikan ekuiti, peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan pendidikan, katanya. 

Beliau berkata, untuk membincangkan dasar dan pendekatan yang lebih berkesan, satu perjumpaan dijangka diadakan 14 September ini di mana dasar dan strategi serta program intervensi berdasarkan pendekatan baru bertujuan memantap serta memperkasakan agenda ekonomi Bumiputera akan diumumkan. 

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, mesyuarat membincangkan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dan Unit Peneraju Agenda BumiputeraTERAJU diberi tanggungjawab mengkaji kesannya kepada ekonomi Bumiputera. 

Ditanya mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Perdana Menteri berkata, ia sudah lama dibangkitkan dan banyak dialog diadakan tetapi enggan mengesahkan sama ada ia akan dimasukkan dalam Bajet 2014 yang akan dibentangkan Oktober ini. 

Beliau juga mengumumkan TERAJU berjaya wujudkan peluang dan program pembangunan ekonomi Bumiputera bernilai RM18.2 bilion sejak penubuhannya dua setengah tahun lalu. 

Geran mudah cara 

Sehingga Ogos tahun ini, TERAJU meluluskan geran mudah cara sebanyak RM412.4 juta kepada 87 projek yang dilaksanakan syarikat Bumiputera dalam pelbagai sektor dengan nilai pelaburan berjumlah RM3.7 bilion. 

Inisiatif turut membantu TERAJU mewujudkan kira-kira 13,000 peluang pekerjaan dan pada masa sama, penyertaan syarikat Bumiputera dalam program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi atau (TeraS) meningkat kepada 450 syarikat. 

Di bawah program TeraS, TERAJU menyediakan Dana Teras di beberapa institusi kewangan untuk pembiayaan modal kerja dan aset berjumlah RM1.62 bilion. Sehingga kini, RM387 juta diluluskan kepada 91 syarikat Bumiputera. 

Sebelum ini, TERAJU sudah menyediakan peluang kontrak bernilai RM9.1 bilion dalam projek Aliran Transit Massa (MRT) kepada syarikat Bumiputera yang bersaing dan diagihkan berdasarkan kepada merit.

No comments:

Post a Comment