GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, August 30, 2013

GST boleh dilaksana 2015




Oleh FADZIL ZAINOL
ekonomi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dijangka paling awal boleh dilaksanakan ialah pada 2015.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah berkata, kerajaan berusaha untuk memasukkan cadangan pelaksanaan GST di dalam Bajet 2014, yang akan dibentangkan pada 25 Oktober ini.

Beliau berkata, jika benar pengumuman GST dilakukan, pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat dan mengambil tempoh selama 14 bulan.

Tempoh itu membolehkan penguatkuasaan cukai itu bermula sepenuhnya pada 2015, jelasnya lagi.

"Apa pun, kerajaan akan memperkenalkan kaedah lain untuk mengurangkan beban rakyat dan perniagaan kecil-kecilan.

"Antara kaedahnya ialah seperti pemberian rebat, cukai sifar ke atas produk keperluan asas seperti beras dan susu tepung kanak-kanak.

"Kami sudah mengenal pasti beberapa produk yang tidak akan dikenakan cukai," katanya semasa sesi soal jawab selepas pembentangan mengenai pencapaian Program Transformasi Ekonomi (ETP) sehingga separuh pertama tahun 2013, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Jelas Mohd. Irwan Siregar lagi, GST tidak harus dianggap sebagai alternatif, sebaliknya merupakan satu keperluan kepada negara ini.

"Cukai ini akan meningkatkan serta mempelbagaikan pendapatan kerajaan berbanding kebergantungan terhadap minyak serta mengurangkan defisit kerajaan," katanya.

Ujarnya lagi, satu mesyuarat Jawatankuasa Polisi Fiskal yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin depan, bakal membincangkan penyusunan perbelanjaan negara, termasuklah melaksanakan program rasionalisasi subsidi.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment