GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, August 26, 2013

GST kecuali cukai 40 barang



Ipoh: Kira-kira 40 barangan keperluan asas rakyat terutama makanan dan minuman tidak akan dikenakan sebarang cukai apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan. 

Antara barangan keperluan asas yang dikecualikan cukai termasuk tepung, beras, gula dan ikan. 

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata ketika ini sebahagian besar barangan keperluan asas itu dikenakan cukai di bawah sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diguna pakai sekarang. 

“Kajian mengenai perkara itu sedang dilaksanakan dan rang undang-undang berhubung GST dijangka dibentangkan di Parlimen, awal tahun depan,” katanya pada pemberita selepas merasmikan surau baru di Kampung Kuang Hilir, Chemor di sini, semalam. 

Kurangkan cukai korporat 

Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan juga bercadang mengurangkan cukai korporat bagi menarik lebih banyak pelabur asing dan tempatan selain menurunkan kadar cukai lain bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah. 

“Apabila GST dilaksanakan, tentu pendapatan negara akan meningkat. Sebahagian dana daripada GST itu akan digunakan untuk memberi bantuan kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan mereka yang berada dalam senarai e-Kasih. 

“Ramai yang salah faham menyangkakan GST sebagai sistem cukai baru yang diperkenalkan kerajaan sebagai tambahan kepada SST. Sedangkan, GST adalah sistem cukai yang lebih moden menggantikan SST. 

“GST sudah dilaksanakan di lebih 170 negara dan ia terbukti berjaya mendatangkan faedah kepada ekonomi negara berkenaan,” katanya. 

Husni menjangka GST memerlukan tempoh kira-kira 18 bulan untuk dilaksanakan selepas diluluskan di Parlimen. 

“Kita di negara ini masih dalam peringkat kajian dan rang undang-undang itu dijangka dibentang di Parlimen, awal tahun depan kerana ia memerlukan tempoh kira-kira 18 bulan untuk dilaksanakan selepas dibentangkan di Parlimen. 

“Jadi, paling cepat pun kita memerlukan masa kira-kira setahun sebelum boleh dilaksanakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment