GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, August 30, 2013

Penyusunan semula GST, RPGT dibincang Isnin



Publication: BH
Date of publication: Aug 29, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 001

Penyusunan semula subsidi, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kajian semula terhadap Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) adalah antara inisiatif dan pilihan yang akan dibincangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal pada Isnin minggu depan bagi memastikan kedudukan ekonomi dan fiskal negara kekal kukuh.

Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu bakal menumpukan kepada tiga bidang utama, iaitu pengurusan perbelanjaan kerajaan lebih cekap, meningkatkan pendapatan serta menambah baik kawal selia dan proses kerja.

"Mesyuarat itu akan membentangkan untuk kelulusan pelbagai inisiatif dan pilihan bagi memastikan ekonomi dan kedudukan fiskal Malaysia kekal kukuh dan mampan, dalam tempoh terdekat dan sederhana," katanya kepada media di Kuala Lumpur, semalam.

Hutang meningkat

Ahmad Husni menjelaskan, Malaysia kini berada dalam ke-dudukan ekonomi sangat mencabar berikutan kelembapan ekonomi luar yang menjejas-kan eksport, iaitu pemacu uta-ma pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, kebimbangan juga semakin meningkat terha-dap ketidakseimbangan pasaran hartanah, peningkatan hutang isi rumah, hutang kerajaan yang meningkat dan defisit fiskal.

Di sebalik latar belakang itu, katanya, kerajaan terus komited mencapai tiga prinsip dasar fiskal, iaitu memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak lebih 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan sentiasa melebihi perbelanjaan mengurus, dan defisit fiskal untuk 2013 ini tidak melebihi empat peratus nilai KDNK.

Ahmad Husni menjelaskan, bagi tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar untuk subsidi, insentif dan bantuan sosial.

Kerajaan, katanya sedang mengkaji langkah menyusun semula perbelanjaan dengan sasaran lebih baik, termasuk subsidi, bagi memastikan setiap dibelanjakan memberi hasil dan manfaat maksimum.

Projek dengan impak besar kepada kewangan kerajaan juga, katanya akan dikaji dan disusun semula untuk mengelakkan bebanan berlebihan kepada bajet persekutuan.

Susun semula perbelanjaan

"Bagi meningkatkan pengurusan perbelanjaan berhemah, Belanjawan Berasaskan Hasil (OBB) akan diperkenalkan yang akan dirintis Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," katanya.

Ahmad Husni bagaimanapun berkata, kerajaan terus komited meneruskan pembayaran BR1M kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Katanya, untuk jangka panjang, kerajaan akan memperkenalkan sistem jaringan keselamatan sosial komprehensif untuk golongan memerlukan yang disasarkan dilaksanakan pada 2015.

"Unit Perancang Ekonomi (EPU) ditugaskan mengetuai pasukan yang akan mencadangkan sistem itu," katanya sambil menambah bidang lain yang boleh dipertimbangkan termasuk mengubah pemberian subsidi secara menyeluruh sekarang, kepada yang menumpu kepada golongan sasaran.

Beliau menegaskan, Kementerian Kewangan juga melihat untuk menangani masalah pengurangan dalam lebihan akaun semasa.

Bagi tujuan itu, katanya projek sektor awam masa pada masa depan akan dipertimbangkan dengan teliti, dengan mengambil kira kedudukan akaun semasa imbangan pembayaran.

"Hanya projek sektor awam dengan kandungan import rendah dan kesan penggandaan tinggi akan diutamakan. Untuk jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan melihat kaedah meningkatkan daya saing ekonomi dan mempelbagaikan pasaran eksport," katanya.

No comments:

Post a Comment