GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, April 1, 2014

Rang Undang-Undang GST 2014 dibentang semalam



KUALA LUMPUR 31 Mac - Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dengan peruntukan akta yang dicadangkan itu tidak terpakai berhubung apa-apa pembekalan barang atau perkhidmatan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.


Dalam rang undang-undang bacaan kali pertama dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di Dewan Rakyat di sini, peruntukan tersebut turut melibatkan mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun berkenaan dengan fungsi pengawalseliaan dan penguatkuasaannya.

Malah, cukai barang dan perkhidmatan itu merupakan suatu cukai kepenggunaan berasas luas yang berdasarkan konsep nilai tambah selain akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang pada masa ini dikenakan serta dipungut di bawah Akta Cukai Jualan 1972 dan akta Cukai Perkhidmatan 1975.

Bagi persoalan tentang kadar cukai, menurut Fasal 10 (1) rang undang-undang itu, cukai hendaklah dikenakan dan dilevikan pada kadar yang ditetapkan di bawah seksyen tersebut ke atas pembekalan barang atau perkhidmatan atau ke atas pengimportan barang dengan merujuk kepada nilai pembekalan atau pengimportan seperti yang ditentukan.

Di bawah perkara berkenaan, menteri boleh menetapkan kadar cukai yang hendak dikenakan ke atas pembekalan barang atau perkhidmatan atau ke atas pengimportan barang dan mengubah atau meminda kadar cukai.

Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 turut memperuntukkan tiada cukai boleh dikenakan ke atas apa-apa pembekalan barang yang berkaitan dengan aktiviti perdagangan runcit yang diluluskan di bawah Akta Zon Bebas 1990 dibuat dalam zon perdagangan bebas.

Namun, menteri boleh dengan perintah, menetapkan apa-apa pembekalan barang dalam zon perdagangan bebas supaya dikenakan cukai.

Bagi Fasal 88 pula, mana-mana pihak yang membuat suatu penyata yang tidak betul; mentaksirkan cukai output kurang daripada yang sebenarnya atau menyatakan apa-apa cukai input berlebih-lebihan dalam suatu penyata dan memberikan maklumat tidak betul dianggap melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan:

l Didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya;

l Dikenakan suatu penalti yang bersamaan dengan amaun cukai yang terkurang dikenakan atau berkemungkinan akan terkurang dikenakan sedemikian jika penyata atau maklumat itu telah diterima sebagai betul.

Selain itu, mana-mana pihak yang dengan niat mengelak atau membantu pihak lain untuk mengelak cukai, boleh dikenakan hukuman berikut:

l Bagi kesalahan pertama, didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun cukai atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya;

l Bagi kesalahan kedua atau kesalahan berikutnya, didenda tidak kurang daripada 20 kali ganda dan tidak lebih daripada 40 kali ganda amaun cukai atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen berkata, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan kadar enam peratus dalam pelaksanaan cukai tersebut.

"Walaupun kita memperkenalkan GST (cukai barang dan perkhidmatan) kita ada program-program bantuan untuk rakyat termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditingkatkan serta menurunkan kadar cukai pendapatan, cukai syarikat dan cukai koperasi," katanya.

Beliau turut menyatakan bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibentang, minggu depan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment