GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, April 4, 2014

Dewan gamat, MP bertikam lidah bahas GST


APR 03, 2014 SALMIYAH HARUN

KUALA LUMPUR: Perbahasan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 yang dibentang untuk bacaan kali kedua mengundang pertikaman lidah wakil rakyat sekaligus mengamatkan sidang Dewan Rakyat hari ini

Kedua-dua wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat dan BN masing-masing tetap mempertahankan hujah mereka.

Pakatan Rakyat dengan hujah dan penegasan mereka bahawa kerajaan BN akan membebankan rakyat yang berpendapatan rendah jika terus berdegil untuk memperkenalkan GST.

Manakala BN pula dengan hujahnya mengatakan bahawa langkah kerajaan memperkenalkan GST untuk memberi kesenangan kepada rakyat sekali gus menambah kewangan negara.

Misalnya Ahli Parlimen Jasin Datuk Wira Ahmad Hamzah dalam perbahasannya menyalahkan Pakatan Rakyat yang memutarbelitkan fakta berhubung GST menyebabkan rakyat memandang serong kepada kerajaan.

Malah Ahmad turut mempertahankan beberapa barangan asas tidak akan dikenakan cukai seperti beras, minyak dan gula.

"Pakcik di kampung tidak akan terkena dengan cukai ini. Minyak, gula tidak ada GST. Saya tahu saya orang kampung," katanya.

Penghujahan wakil rakyat BN itu mengundang banyak celahan daripada wakil Pakatan Rakyat antaranya Ahli Parlimen Shah Alam, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, dan Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin yang masing-masing membantah apa yang dikatakan oleh wakil BN itu.

Suasana sesi perbahasan bertambah gamat apabila Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli membidas kerajaan BN mengatakan GST tidak adil kepada rakyat terbanyak.

Rafizi berkata, alasan kerajaan memperkenalkan GST kerana kewangan negara berpanjangan mengalami defisit sejak tahun 1998 hinggalah 2014.

"Tidak ada satu tahun pun kerajaan BN mampu ada lebihan wang, tiap-tiap tahun akan beri kesan kepada kedudukan kewangan.

"16 tahun kerajaan BN bergantung kepada beban hutang negara dan tiap-tiap tahun kerajaan terbitkan bon untuk hutang baru,"tegas Rafizi ketika membahaskan rang undang-undang GST.

Hujahan Rafizi itu mengundang celahan tidak berpuas hati di kalangan wakil rakyat BN menyebabkan suasana terus gamat.

Rafizi juga memberi gambaran kerajaan BN akan tumbang selepas ini kerana memperkenalkan GST dengan memberi contoh kerajaan Australia di bawah pentadbiran John Harvard yang tumbang selepas perkenalkan GST.

Kenyataan Rafizi itu mengundang celahan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Raden yang mencabar Rafizi untuk melihat sama ada BN akan tumbang pada PRU-14 nanti.

"Kita lihat betul atau tidak kerajaan BN akan tumbang pada PRU-14 nanti selepas GST diperkenalkan tahun depan,"katanya.

Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali yang mencelah turut membidas kerajaan BN yang mempunyai sindrom penafian walaupun hakikatnya GST tidak sesuai dilaksanakan kerana perkapita rakyat negara ini masih di tahap rendah.

Rafizi yang terus berhujah mengatakan kerajaan masih ada mekanisma lain untuk menambahkan pendapatan negara tanpa membebankan rakyat dengan GST.

"Malaysia ada industri monopoli misalnya Astro. Semua tahu Astro mendapat untung berlipat ganda sepatutnya dikenakan cukai durian runtuh tetapi ia tidak berlaku di negara kita. Di luar negara cukai ini dikenakan kepada orang kaya,"katanya.

Justeru beliau mengajak Ahli Parlimen BN bersama-sama Pakatan Rakyat agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menarik semula rang undang-undang ini demi keadilan rakyat.

"GST tidak adil untuk rakyat, selagi undang-undang ini tidak di tarik balik kita akan lawan di dalam dan luar dewan,"tegas Rafizi.

No comments:

Post a Comment