GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, April 4, 2014

GST: Peruntuk penubuhan tribunal rayuan


KUALA LUMPUR 3 April - Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 memperuntukkan fasal mengenai penubuhan Tribunal Rayuan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah digubal bagi memberi ruang mana-mana pihak mengemukakan sebarang bentuk rayuan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, ini menjurus kepada rasa tidak puas hati dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kastam berhubung ketetapan pelaksanaan sistem percukaian itu.

"Sistem percukaian yang adil mestilah mempunyai ruang untuk menyemak semula apa-apa keputusan yang telah dibuat. Sehubungan itu, peruntukan bagi membolehkan Ketua Pengarah Kastam untuk mengkaji dan menyemak semula keputusan yang telah dibuat sebelumnya dan membuat keputusan muktamad dalam tempoh masa yang ditetapkan telah disediakan.

"Peruntukan mengenai penubuhan Tribunal Rayuan GST juga telah digubal. Platform yang disediakan ini bagi memberi ruang kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusan yang dibuat Ketua Pengarah Kastam untuk membuat rayuan kepada tribunal itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Husni berkata, tribunal itu akan mempunyai seorang pengerusi, timbalan pengerusi dan anggota lain tribunal dengan kuasa melantik mereka ini diberikan kepada Menteri Kewangan.

Jelasnya, Menteri Kewangan juga mempunyai kuasa untuk menentukan saraan, terma dan syarat pelantikan anggota tribunal berke­naan.

Sementara itu, menurutnya, GST tidak dikenakan di kawasan yang ditetapkan iaitu di Labuan, Langkawi dan Pulau Tioman dan ini bermakna selain pelancong, penduduk di ketiga-tiga kawasan itu juga secara asasnya tidak perlu membayar GST ke atas pembelian barang atau perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, walaupun Menteri Kewangan diberi kuasa untuk menetapkan kadar GST tetapi perkara itu perlu dibuat melalui satu perintah dan dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Berdasarkan kepada pengumuman Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2014, kadar GST yang dicadangkan ialah enam peratus. Kadar ini ialah terendah dalam kalangan negara ASEAN.

“Senarai barang dan perhidmatan yang akan dikenakan GST pada kadar sifar dan dikecualikan dari GST telah diumumkan, antaranya beras, gula, garam, tepung dan minyak masak termasuk bekalan air paip dan 300 unit pertama bekalan elektrik bagi pengguna domestik," katanya.

Tambah beliau, ini termasuk jual beli dan sewaan rumah kediaman dan perkhidmatan kewangan yang terpilih seperti insurans nyawa.

"Langkah yang diambil kerajaan ini sebenarnya bagi menjadikan GST yang dilaksanakan kelak bersifat progresif di samping membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment