GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, April 1, 2014

Bentang kaedah laksana GST


Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kuala Lumpur: Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 bertujuan mewujudkan peruntukan bagi mengenakan dan memungut cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta bagi perkara berkaitan dengannya dibentang di Dewan Rakyat, semalam.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan membentangkan rang undang-undang yang mempunyai 201 fasal dan 18 bahagian itu untuk bacaan kali pertama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua bagi dibahaskan minggu depan.

Rang undang-undang itu akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) yang pada masa ini dikenakan dan dipungut di bawah Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975.

Berbeza dengan cukai jualan ketika ini yang berbentuk cukai seperingkat, GST ialah cukai berperingkat dan pembayaran cukai dibuat dalam berbilang peringkat oleh perantara dalam proses pengeluaran dan pengagihan.

GST meliputi semua sektor industri dan adalah kategori cukai ke atas penggunaan terakhir barang dan perkhidmatan yang dipungut melalui sistem kredit dengan GST ditanggung atas input diimbangkan terhadap GST yang dikenakan ke atas output.

Rang undang-undang itu akan membabitkan kerajaan dalam perbelanjaan wang tambahan yang amaunnya belum dapat ditentukan sekarang.

Menerusi peruntukan akta yang dicadangkan, antaranya Fasal 17 memperuntukkan jika orang kena cukai membekalkan barang atau perkhidmatan dan pembekalan itu berkadar sifar, tiada cukai boleh dikenakan ke atas pembekalan itu.

Menerusi Fasal 56 memperuntukkan kuasa kepada menteri untuk melepaskan mana-mana orang atau golongan daripada pembayaran keseluruhan atau sebahagian cukai boleh dikenakan dan dilevi.

Menurut Fasal 64 pula, akta itu tidak terpakai berhubung pembekalan barang atau perkhidmatan yang dibuat Kerajaan Persekutuan dan negeri, melainkan jika diarahkan selainnya oleh menteri dalam suatu perintah atau mana-mana pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun berkenaan fungsi pengawalseliaan dan penguatkuasaannya.

Selain itu, Fasal 89 memperuntukkan orang yang berniat untuk mengelak atau membantu orang lain untuk mengelak cukai jika disabitkan, bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda amaun cukai atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Di bawah fasal itu juga bagi kesalahan kedua dan berikutnya, mereka boleh didenda tidak kurang daripada 20 kali ganda dan tidak lebih daripada 40 kali ganda amaun cukai atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Ketika pembentangan Belanjawan 2014 di Parlimen tahun lalu, Najib mengumumkan pelaksanaan GST berkuat kuasa 1 April 2015, pada kadar enam peratus menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 16 peratus.

No comments:

Post a Comment