GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, March 31, 2014

GST elak cukai berganda


Publication: BH
Date of publication: Mar 29, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 042
Byline / Author: Oleh Shalihen Mohd Salleh

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah cukai berperingkat bagi penggunaan tempatan dan dikategorikan dalam cukai tidak langsung. GST dikenakan ke atas semua pembekalan bercukai, barang dan perkhidmatan di Malaysia kecuali pembekalan yang dikecualikan secara khusus mengikut Akta GST.

GST juga dikenakan ke atas pengimportan barang dan perkhidmatan ke dalam Malaysia. GST akan dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2014. GST dikenakan ke atas nilai tambah di sepanjang rantaian pembekalan bermula iaitu, daripada pengilang sehingga peruncit.

Sejak tahun 1972, Malaysia telah menguatkuasa dan memungut cukai jualan, manakala cukai perkhidmatan dipungut sejak tahun 1975. Pada masa ini cukai jualan dikenakan ke atas barangan ketika diimport atau di peringkat pengilangan. Cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu termasuk perkhidmatan profesional (peguam, akauntan dan arkitek), hotel dan restoran.

Rakyat Malaysia sudah pun maklum dengan cukai 6.0 peratus bagi perkhidmatan tertentu seperti di hotel, restoran makanan segera (McDonald's, Pizza Hut dan KFC), syarikat komunikasi (Celcom, Maxis Digi dan Astro) dan restoran mewah.

Cukai jualan diserap

Bagi cukai jualan pula tanpa rakyat sedar mereka telah pun membayar cukai berkenaan apabila membeli barangan tertentu seperti perabot, barangan plastik dan kenderaan yang dijual di pasaran tempatan. Ini kerana cukai itu telah dibayar oleh pengilang atau pengimport dan elemen cukai berkenaan telah diserap sebagai kos pengeluaran barang dan tidak dijelaskan dalam bil atau invois yang dikeluarkan oleh penjual.

Sebagai contoh, biskut berkrim dikenakan cukai jualan 5.0 peratus, tetapi lazimnya pengeluar tidak menyatakan cukai itu dalam bil kepada pengguna kerana yang membayar cukai adalah pihak pemborong kepada pengilang. Jika biskut itu dikatakan berharga RM10.50 harga sebenarnya adalah RM10 kerana telah ditambah dengan cukai jualan sebanyak 50 sen.

Kadar cukai berganda juga akan berlaku apabila biskut tersebut dijual di hotel atau restoran yang mengenakan cukai perkhidmatan. Ini bermakna harga biskut itu akan dijual dengan harga RM11.13 yang mana tambahan cukai sebanyak 63 sen dikenakan bagi cukai perkhidmatan yang berkadar 6.0 peratus. Keadaan ini menyebabkan berlakunya cukai berganda dalam sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan merugikan pengguna.

Sementara dalam sistem GST pula membolehkan peniaga menuntut balik cukai yang telah dibayar ke atas bahan mentah yang dikenali sebagai kredit cukai input. Kaedah ini membawa pengertian, jika cukai output melebihi cukai input, perbezaannya akan dibayar kepada kerajaan.

Jika cukai input melebihi cukai output, peniaga boleh menuntut balik cukai berkenaan daripada kerajaan. Pada akhir transaksi pengguna hanya akan membayar sekali cukai GST seperti yang telah diwartakan. Jumlah GST yang dibayar oleh pengguna juga akan dipaparkan dalam bil yang diberikan kepada pengguna. Sehubungan itu, GST akan mengelakkan pengguna membayar cukai berganda kerana ia adalah lebih telus.

Sistem GST adalah berperingkat, manakala SST adalah satu peringkat. SST dikutip dan diserahkan oleh pengilang berlesen atau pelesen yang menyediakan perkhidmatan bercukai kepada kerajaan, sementara cukai GST dipungut oleh setiap rantaian peniaga yang berdaftar pada setiap peringkat jualan.

Melalui sistem GST cukai yang dikenakan adalah daripada penambahan nilai barangan di setiap peringkat keluaran dan agihan. Pengiraan cukai GST adalah berdasarkan jumlah nilai keseluruhan yang telah diterima atau akan diterima daripada pembekal barangan, iaitu berdasarkan nilai tambah (value added) setiap transaksi.

Sementara pengiraan cukai bagi SST adalah berdasarkan kepada margin keuntungan pengilang atau pelesen yang termasuk kos berubah dan kos tetap (sewa bangunan, gaji pekerja, kos bahan mentah dan kos pengangkutan).

Sistem SST memberi pengecualian cukai kepada bahan mentah yang akan digunakan bagi memproses bahan siap yang bercukai manakala sistem GST memberi kemudahan kaedah kredit cukai input yang mana peniaga boleh menuntut semula cukai yang telah dibayar ke atas semua bahan dan perkhidmatan di peringkat input.

Kadar lebih rendah

Kerajaan dijangka mengenakan kadar GST yang lebih rendah daripada kadar cukai jualan dan perkhidmatan. Pada masa kini terdapat tiga kadar bagi cukai jualan, iaitu 5.0 peratus, 10 peratus dan 20 peratus (mengikut produk tertentu). Kadar cukai bagi cukai perkhidmatan pula adalah 6.0 peratus.

Berdasarkan kadar yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2014, kadar GSTyang akan dikenakan adalah 6.0 peratus. Kadar yang diumumkan itu adalah kompetitif jika dibandingkan dengan kebanyakan negara di dunia ini seperti Jepun 5.0 peratus, Singapura 7.0 peratus, Indonesia 10 peratus dan Thailand 10 peratus.

Kadar tidak dinaikkan

Dakwaan yang menyatakan bahawa kerajaan akan sentiasa menaikkan kadar cukai GST juga adalah kurang tepat. Berdasarkan pengalaman lepas kadar cukai perkhidmatan dinaikkan sekali sahaja, iaitu pada tahun 2011 (daripada 5.0 peratus kepada 6.0 peratus). Kadar cukai bagi cukai jualan juga hanya dinaikkan bagi produk tertentu, iaitu seperti rokok dan minuman keras. Bagi produk makanan dan bahan binaan, kadar cukai yang dikenakan masih kekal sehingga sekarang, iaitu pada kadar 5.0 peratus dan barangan am seperti perabot dan barangan plastik kekal pada kadar 10 peratus.

Dalam tempoh tertentu GST dapat menurunkan kos operasi perniagaan kerana peniaga yang berdaftar boleh menuntut cukai ke atas GST yang dibayar ke atas input perniagaan, sekali gus boleh menawarkan harga barangan dengan lebih murah.

Selain itu, syarikat yang mencatatkan pendapatan tahunan kurang daripada nilai jualan tahunan minimum yang ditetapkan adalah tidak wajib berdaftar dengan GST dan seterusnya tidak perlu membayar GST. Kerajaan bercadang untuk menetapkan nilai jualan tahunan minimum itu sebanyak RM500,000 setahun kepada perniagaan atau syarikat yang tertakluk kepada GST.

GST akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat selain meningkatkan hasil cukai kerajaan serta mengelakkan ketirisan dalam menjana pendapatan negara.

Selain memberi faedah kepada golongan berpendapatan rendah kerajaan juga telah memberikan jaminan akan tidak mengenakan dan mengecualikan cukai ke atas barangan keperluan tertentu seperti produk pertanian dan makanan asas (seperti beras, gula dan minyak masak) dan perkhidmatan seperti perubatan, pendidikan, kewangan dan pengangkutan awam.

* Penulis ialah Pensyarah Akademi Kastam Diraja Malaysia, (AKMAL) Melaka.

No comments:

Post a Comment