GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, April 4, 2014

Perkukuh Akta Kawalan Harga, Anti Pencatutan


KUALA LUMPUR 3 April - Kerajaan digesa memperkukuhkan penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan bagi mengekang tindakan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang apabila Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (GST) dilaksanakan tahun depan.

Gesaan itu disuarakan Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) yang melihat kemungkinan-kemungkinan tersebut jika akta sedia ada ‘gagal’ digunakan sebaik-baiknya.

Malah, beliau juga menggesa Kementeri­an Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya turut sama memantau dan bertindak terhadap pengilang dan pemborong yang melakukan perkara sama.

“Kepada kerajaan, ambil langkah-langkah dan menggunakan akta ini (Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan) bersungguh-sungguh supaya jangan ada peniaga ambil kesempatan menaikkan harga.

"Dan, kalau boleh, apabila GST dilaksanakan, kerajaan perlu memastikan setiap kedai mempamerkan senarai barang-barang yang sebelum ini ada cukai jualan dan cukai perkhidmatan kepada barang-barang yang dikenakan GST,'' katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Johari turut meminta kerajaan supaya mengadakan program kesedaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) berhubung pelaksanaan sistem percukaian GST.

Dalam pada itu, sesi perbahasan berhubung rang undang-undang berkenaan diselang-seli dengan ‘kutukan’ pembangkang yang jelas menolak pelaksanaan GST.

Namun, Datuk Ar. Wan Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) ketika mencelah perbahasan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mempersoalkan tindakan pem­­bangkang yang menolak GST, cukai yang dilihat sebagai efisien dan tersusun.

“Yang menentang beria-ia GST ini kenapa? Adakah mereka ini mempertahankan orang yang tak bayar cukai atau menipu cukai?'' soal beliau.

Perkara sama ditegaskan Dr. Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang membuat persoalan berikut: “Kutipan cukai ini (GST) untuk meningkatkan pendapatan kerajaan supaya kerajaan dapat tolong rakyat. Yang membangkang ini, mereka tidak mempedulikan tentang rakyat."

Terdahulu, Ahmad Hamzah ketika meneruskan perbahasan berkata, pelbagai fitnah ditaburkan kononnya kerajaan terburu-buru melaksanakan GST.

“Idea GST ini bukan tumbuh semalam tetapi sejak 1988 semasa pembentangan Bajet 1989. Dan jangan lupa, Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga bertanggungjawab membentang GST (ketika masih bersama kerajaan).

“(Dalam pelaksanaan GST) kerajaan sudah melakukan pelbagai kajian dan 2015 merupakan tahun bersesuaian untuk melaksanakannya.'' katanya.

Sesi perbahasan berhubung rang undang-undang tersebut akan disambung semula dalam sidang Isnin ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment