Isu-isu yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali:
* Dewan Ulama PAS telah menyifatkan tindakan kerajaan yang bakal mengutip cukai GST adalah haram
* Mengikut Islam cukai hanya boleh diambil daripada rakyat yang mampu sahaja. Tetapi dengan sistem GST, kerajaan bakal mengutip cukai dari semua lapisan masyarakat termasuk yang miskin. Ini tidak adil.
* Cukai hanya dibenarkan dalam Islam setelah negara sudah tidak ada sumber pendapatan lain. Malah bila ada sumber pendapatan baru, maka secara otomatik pungutan cukai sebelum itu terbatal.
* Khairuddin juga berkata umat Islam hanya wajib bayar zakat sahaja. Bagaimanapun zakat tidak boleh dikutip melainkan keadaan memerlukannya
Izinkan saya membalas dengan pendapat saya:
Dewan Ulama PAS sepatutnya memahami dan mengkaji dengan mendalam mengenai isu "haram" terlebih dahulu sebelum mengatakan pelaksanaan GST adalah berlawanan dengan ajaran Islam. Contohnya, ceramah agama oleh Ustaz Zaharuddin Muhammad di Dewan Bandaran Salak Tinggi baru-baru ini menampakkan bahawa PAS kurang faham dan tidak mengkaji dengan teliti konsep pelaksanaan GST.
Sepatutnya, perbandingan harus dibuat secara menyeluruh dari segi kemaslahatan umum ke atas wang hasil dari GST dengan wang pungutan zakat.
Banyak persoalan yang perlu dijelaskan oleh PAS apabila mengatakan GST adalah haram kerana Malaysia telah lama melaksanakan sistem percukaian Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST). Pada pendapat saya, jika GST nanti adalah haram maka implikasinya, SST sebelum ini adalah haram juga kerana kedua-duanya adalah berasaskan konsep kepenggunaan.
Jika di bawah SST pengguna membayar cukai bila membeli barangan yang tertakluk kepada cukai jualan contohnya baju, seluar, kasut cuma tidak ditunjukkan didalam invois jualan. Elemen cukai jualan telah dimasukkan di dalam kos barangan yang dijual oleh peniaga dan secara tidak langsung pengguna telah membayar cukai jualan ke atas barangan yang dibeli, tidak kira sama ada golongan miskin ataupun kaya.
Persoalannya jika cukai golongan miskin dikenakan cukai jualan semasa SST maka bila GST dilaksanakan nanti, keadaan yang sama akan berlaku. Apakah Datuk Khairuddin akan mengeluarkan fatwa bahawa selama ini wang yang dipungut daripada hasil cukai jualan adalah haram? Apakah selama ini pembinaan dan pembangunan yang berlaku di Malaysia ini adalah dibiayai oleh duit haram hasil cukai ke atas orang miskin?
Kita harus mengambil kira bahawa hasil duit yang dipungut melalui sistem percukaian berasaskan kepenggunaan memanfaatkan rakyat. Hasil kutipan cukai digunakan untuk membina jalan di kampung-kampung, membina lebuh raya, masjid, surau, gereja, balai raya, sekolah, universiti yang semuanya digunakan oleh rakyat Malaysia, tidak mengira agama atau bangsa, tidak kira apakah fahaman politik masing-masing.
Seterusnya, gaji penjawat awam di Malaysia termasuklah elaun Yang Berhormat Ahli Parlimen adalah dibayar dari pungutan cukai SST.
Adakah Datuk Khairuddin akan mengeluarkan fatwa mengatakan bahawa semua penjawat awam menerima gaji dari duit haram yang dipungut daripada hasil cukai?
Persoalan yang lebih serius adalah mengapa selama di bawah sistem SST, Datuk Khairuddin tidak mengatakan SST adalah haram dan tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana SST mengenakan cukai kepada golongan miskin seperti yang dinyatakan dengan sistem GST?
Golongan miskin yang berpendapatan rendah akan mendapat pembelaan daripada kerajaan bagi menangani kesukaran yang mungkin dihadapi dengan pelaksaan GST. Secara asasnya, barangan asas dan 200 kWh pertama penggunaan elektrik tidak akan dikenakan GST.
Setahu saya, apabila industri membayar GST ke atas elektrik, ia boleh dituntut semula oleh industri dan tidak menjadi kos pada perniagaan maka, kos perniagaan juga tidak akan naik.
Saya berpendapat bahawa kita seharusnya melihat keadaan dengan wajar. – 13 Februari, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment