GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, February 20, 2014

Kastam perkenal kad kuasa baharu



Khazali Ahmad menunjukkan kad kuasa baharu kastam sambil diperhatikan
oleh Zainul Abidin Taib pada majlis Perhimpunan Setia dan Mesra Peringkat
Ibu Pejabat JKDM di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA 19 Feb. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperkenalkan kad kuasa baharu kepada 10,000 pegawai dan anggota beruniformnya di seluruh negara bagi menggantikan kad kuasa sedia ada yang telah digunakan lebih 20 tahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, kad kuasa baharu tersebut memiliki ciri-ciri perlindungan daripada pemalsuan, pencerobohan serta mudah untuk dikenalpasti ketulenannya.

Buat permulaan katanya, kad kuasa baharu itu akan dicetak sebanyak 900 keping bagi ibu pejabat JKDM sebelum diagihkan kepada semua pegawai dan anggota lain di seluruh negara dalam tempoh sebulan.

"Kad kuasa yang baharu direka khas itu, mempunyai lapan ciri-ciri keselamatan bagi mengelak berlakunya kes pemalsuan kad kuasa JKDM oleh pihak tertentu.

"Lapan ciri-ciri keselamatan baharu itu adalah holografik logo, teks mikro, garisan parameter, garisan raster, multiple relief, numismatik (relief), colour shifting inks serta imej raster," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Setia Mesra JKDM dan Pelancaran Kad Kuasa baharu di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Pengurusan), Datuk Abdul Rahman Othman dan Penolong Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan), Datuk Zainul Abidin.

Menurut Khazali, kad kuasa baharu itu mempunyai ketahanan sehingga 10 tahun tanpa menjejaskan strukturnya berbanding kad sebelum ini yang gambar pegawai pudar dalam masa dua tahun digunakan.

"Kad itu juga berupaya mencetak butiran peribadi selaras dengan perkembangan teknologi semasa, sekali gus memudahkan proses pengemaskinian rekod di Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia di peringkat jabatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khazali menyifatkan tahun ini sebagai tahun paling mencabar buat JKDM termasuk dalam usaha mempersiapkan diri dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selain menyiapkan diri dengan sistem komputer baru dikenali U-Customs.

Selain itu katanya, JKDM kini dalam proses kajian untuk melaksanakan program pengkorporatan jabatan seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-32 di Dewan Sultan Iskandar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akhir bulan lalu.

"JKDM ketika ini juga sedang membuat persediaan untuk mengambil alih jawatan sebagai Naib Pengerusi Organisasi Kastam Dunia Ketiga (WCO) peringkat Asia Pasifik daripada Australia pada Jun depan.

"Kita diberi pengiktirafan dunia untuk memegang jawatan itu yang berperanan mengetuai jabatan kastam di lebih 30 buah negara di Asia Pasifik. Ini satu tugas berat, namun pada masa sama memberi kelebihan dan manfaat untuk meningkatkan kapasiti jabatan dari segi kecekapan dan kemampuan," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment