20 Februari 2014
KUALA LUMPUR - Lapan bab dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) sedang dimuktamadkan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Antara bab yang sedang dimuktamadkan ialah daya saing dan memudahkan perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerjasama dan pembangunan kapasiti serta peraturan yang jelas, katanya.
Beliau berkata rundingan bagi 21 bab lagi masih dijalankan dan kerajaan akan memastikan kepentingan nasional tidak akan dikompromikan dalam rundingan itu.
Beliau berkata pelbagai isu dirundingkan dan kerajaan perlu 'selesa' ke atas semua isu-isu substantif yang belum selesai.
"Rundingan sedang dijalankan. Sesiapa pun tidak boleh membuat spekulasi (mengenai bila rundingan itu akan dimuktamadkan) kecuali kita berpuas hati terhadap semua isu," katanya pada taklimat media hari ini.
Mustapa berkata kerajaan akan sentiasa berfikiran terbuka terhadap rundingan itu dengan menangani segala kebimbangan dan cabaran sewajarnya.
Ditanya sama ada beliau menjangkakan pengurangan dalam isu-isu tertunggak sempena lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia pada April, beliau berkata: "Saya tidak boleh membuat spekulasi sama ada isu-isu substantif yang belum selesai akan dikurangkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana setiap negara mempunyai isunya sendiri."
Obama akan melawat empat negara Asia, iaitu Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Filipina pada April dan beliau dijangkakan mengetengahkan isu-isu diplomatik, ekonomi dan keselamatan.
Mustapa berkata kerajaan akan terus mengadakan pertemuan dengan orang awam dan pelbagai pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas dan maklumat mengenai TPPA.
ehingga kini, kementerian telah mengadakan lebih 50 pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan, ahli akademik, industri dan sektor swasta berhubung TPPA.
Mustapa berkata laporan awal mengenai analisis kos dan manfaat berhubung TPPA akan siap dalam tempoh sebulan.
Analisis itu, terbahagi kepada dua seksyen, dilaksanakan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Perdana Menteri.
"Mereka akan mengeluarkan laporan awal. Terdapat banyak cabaran (dalam rundingan TPP), dan dalam apa-apa yang kita lakukan, kita akan berdasarkan kepada analisis kos dan manfaat," katanya.
Analisis kos dan faedah berhubung kesan perjanjian itu kepada Bumiputera dan PKS diselia oleh Teraju manakala ISIS melaksanakan kajian ke atas kepentingan nasional.
Menteri-menteri TPP akan mengadakan pertemuan pada mesyuarat TPP kelapan peringkat menteri di Singapura mulai Sabtu ini hingga Selasa. - Bernama
No comments:
Post a Comment