GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, February 17, 2014

Harapan tinggi penduduk Sarawak terhadap Adenan



Publication: BH
Date of publication: Feb 15, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 031
Byline / Author: Oleh Jeniri Amir

Pelantikan Ketua Menteri Sarawak yang baharu begitu mendapat perhatian kerana mereka mahu tahu adakah Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan memilih pemimpin pilihannya atau pemimpin pilihan rakyat? Apatah lagi, bagi penduduk Sarawak, Taib sudah memerintah terlalu lama. Bagi pemerhati politik Sarawak, pemilihan Tan Sri Adenan Satem bukan sesuatu di luar jangkaan mereka.

Taib memperlihatkan kecenderungan kepada Adenan selepas mantan wartawan dan peguam itu tewas dalam pemilihan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 1998. Meskipun Abang Johari yang lebih dikenali dengan panggilan AJ atau Abang Jo menang majoriti 127 undi ketika jumlah pencalonan memihak kepada Adenan, namun jawatan khas diwujudkan untuk memastikan Adenan mempunyai kedudukan dalam parti.

Kekalahan itu memang tamparan hebat kepada Taib kerana dalam pemilihan berkenaan, beliau memihak kepada Adenan. Sokongan kaum Dayak memungkinkan AJ menang. Tidak lama kemudian Adenan dilantik sebagai pengerusi Yayasan Sarawak yang dikosongkan oleh Taib. Sudah terang lagi bersuluh, banyak faktor memihak kepada Adenan. Pelantikan Adenan sebagai menteri pusat dianggap petanda jelas, selain pelantikan sebagai Ketua Penerangan, mengapa Adenan dipilih sudah banyak dikupas, termasuk kerana faktor beliau sebagai bekas adik ipar Taib.

Satukan PBB

Sesungguhnya, semua calon yang disebut, termasuk Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Naib Presiden Kanan adalah kawan rapat dan mempunyai hubungan baik. Mereka sedar implikasi dan risiko jika PBB bergolak dan berkocak, justeru jalan terbaik adalah untuk merapatkan barisan meskipun ada yang pasti terluka.

Sebagai Timbalan Presiden Parti, jawatan yang lebih kanan daripada Ketua Penerangan yang tidak ditandingi, tentu satu sebab untuk mewajarkan beliau menyimpan impian menjawat jawatan yang menjadi idaman.

Adakah AJ mempunyai peluang menduduki kerusi itu atau beliau terlepas lagi ketika Adenan berundur nanti kerana yang berhak mengabsahkan kedudukan itu ialah Yang di-Pertua Negeri? Dalam amalan demokrasi, pemimpin lebih senior lazimnya secara prinsip wajar diberi jawatan itu. Justeru, Abang Jo perlu telan pil politik sekali lagi, bahawa inilah realiti politik.

Cabaran awal Adenan adalah untuk memastikan sokongan puak yang berkepentingan bersatu, kerana PBB yang berpecah atau bergolak hanya mengundang padah. Prestasi cemerlang PBB dalam pilihan raya adalah kerana kesepaduan dan perpaduan parti, pengorbanan ahli dan kewarasan pemimpin pelbagai peringkat sehingga memungkinkannya menyapu bersih 35 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011 dan 14 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sasar menang PRN Ke-11

Ketika PBB berdepan pembangkang yang semakin kuat, perpaduan jitu amat penting. Ujian pertama Adenan adalah memastikan kemenangan dalam PRN Ke-11 yang saya jangka pada 2015. Prestasi lebih baik daripada sebelumnya, tentu akan melonjakkan reputasi Ketua Menteri kelima Sarawak itu. Untuk itu, Adenan perlu bergerak aktif turun ke akar umbi mendekati rakyat.

Apabila dilihat dekat dengan rakyat, imej sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan tidak sombong dapat dibina dan ini penting untuk beliau dan Barisan Nasional. Beliau perlu bekerja keras mengikis imej negatif tentang perwatakannya, meskipun ada daripadanya persepsi semata-mata. Bagi mereka yang dekat dengan Adenan, beliau sebenarnya lembut hati. Adenan tidak boleh mencari musuh. Adenan bakal berdepan cabaran, bagaimana untuk menangani isu GST, kalimah Allah, tanah adat Bumiputera (NCR), jurang perbezaan antara bandar desa, kemiskinan dan sebagainya yang bakal dieksploitasikan pembangkang.

Janji pilihan raya lalu perlu segera dikotakan. Jika tidak, kerusi bandar akan terus dicengkam pembangkang. Adakah beliau bersedia untuk mengubah atau menyesuaikan dasar yang mencetuskan kemarahan kaum Dayak khususnya NCR?

Sejauh manakah beliau dapat keluar daripada bayang-bayang Taib apabila dilihat sebagai proksi Taib? Rakyat Sarawak menaruh harapan tinggi terhadap Adenan.

Beliau berada di kerusi itu untuk terus memacu pembangunan, memahami aspirasi 27 etnik di Sarawak, menyelesaikan masalah mereka dan bukan mengusutkan masalah, menghapuskan kemiskinan, meningkatkan taraf hidup, mengekalkan kesepaduan sosial mahupun menjalin hubungan harmoni dengan Putrajaya.

* Penulis ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

No comments:

Post a Comment