GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, October 18, 2013

Sekarang masa sesuai laksana GST


2013/10/18 - 05:10:40 AM

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) wajar dilaksanakan sekarang ketika ekonomi negara berada dalam fasa pertumbuhan, kata firma perundingan percukaian, PricewaterhouseCoopers Taxation Sdn Bhd (PwC). 

Pengarah Eksekutif Kanan, Wan Heng Choon, berkata Malaysia memerlukan GST bagi membendung bajet defisit serta memperkenalkan sistem percukaian yang menyeluruh dan adil. 

“Kita perlu mengambil pengajaran daripada beberapa isu berkaitan defisit yang melanda beberapa ekonomi di seluruh dunia. Jangan tunggu untuk melaksanakan GST hingga berlakunya krisis (ekonomi) yang mengakibatkan masalah lain pula kepada negara dan rakyat secara umumnya,” katanya pada taklimat media PwC berhubung Bajet 2014 di Kuala Lumpur, semalam. 


Turut serta pada taklimat itu ialah dua lagi Pengarah Eksekutif Kanan PwC, Jagdev Singh dan Steve Chia Siang Hai. 

Pelaksanaan GST adalah sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan negara bagi mencapai sasaran bajet seimbang menjelang 2020. 

Pengenalannya juga bermatlamat mengurangkan kebergantungan kepada cukai langsung iaitu cukai korporat dan cukai pendapatan individu yang kini dianggar menyumbang hampir 60 peratus kepada pendapatan kerajaan. 

Pendapatan daripada cukai tidak langsung seperti cukai jualan pula hanya menyumbang kira-kira 17 peratus kepada pendapatan kerajaan. 

Nisbah itu jauh lebih tinggi berbanding beberapa negara jiran seperti Singapura yang mana cukai langsung menyumbang kurang 40 peratus kepada asas pendapatan kerajaannya manakala Thailand sekitar 45 peratus dan Indonesia kira-kira 35 peratus. 

Wan berkata, pelaksanaan GST hanya boleh dilaksanakan apabila tiga perkara iaitu tarikh penguatkuasaan, kadar yang dikenakan serta peraturan telah dijelaskan kepada semua pihak, terutama golongan peniaga. 

“Tempoh yang diperlukan untuk menjelaskan ketiga-tiga isu berkenaan ialah kurang 18 bulan selepas kerajaan mengumumkan yang GST akan dilaksanakan,” katanya sambil menambah PwC menjangka GST berkuat kuasa pada suku ketiga 2015 dengan kadar permulaan enam peratus yang membolehkan kerajaan meraih pendapatan tahunan sebanyak kira-kira RM32 bilion. 

Beliau menegaskan, berdasarkan data terdahulu, GST bukanlah penyebab utama inflasi dalam ekonomi walaupun akan berlaku kenaikan harga selepas regim cukai itu dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment