GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, September 5, 2013

Negara jimatkan RM1.1 bilion



ARKIB : 03/09/2013

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan FAIRUS KASSIM 
pengarang@utusan.com.my

NAJIB Tun Razak mengumumkan kenaikan minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa pukul 12.01 pagi 3 September ketika sidang akhbar di Putrajaya, semalam. Turut hadir Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (dua, kiri), Abdul Wahid Omar (kanan) dan Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

PUTRAJAYA 2 Sept. - Negara mampu menjimatkan kira-kira RM1.1 bilion tahun ini melalui pengurangan subsidi minyak dalam usaha menyalurkan dana tersebut kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Rasionalisasi subsidi itu bertujuan menstrukturkan semula fiskal negara agar pasaran yakin dengan keadaan ekonomi negara, sekali gus membantu mencapai sasaran mengurangkan defisit keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 3 peratus pada 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun pengurangan subsidi itu dilihat sebagai kenaikan harga minyak tetapi ia merupakan salah satu proses pengukuhan ekonomi negara untuk jangka masa pendek dan sederhana.

"Ini adalah langkah untuk membantu rakyat juga. Ekonomi yang stabil akan memberi kesejahteraan kepada rakyat," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah

Dalam sidang akhbar berkenaan, kerajaan mengambil keputusan mengurangkan subsidi minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen berkuat kuasa tengah malam ini selepas mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Dasar Fiskal sebelum itu.

Najib berkata, impak pengurangan subsidi itu dilihat memberi kesan yang rendah kepada kadar inflasi dan tidak akan memudaratkan rakyat.

Menurut beliau, proses rasionalisasi subsidi akan tetap dilaksanakan secara berperingkat tetapi kesan bebanan kepada rakyat diminimumkan dan dalam masa yang sama jaringan keselamatan sosial seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dipertingkat.

"Kerajaan akan mengumumkan kenaikan BR1M pada pembentangan Bajet 2014 nanti dan begitu juga dengan pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST)," jelasnya.

Ditanya mengenai tindakan mengurangkan subsidi minyak bakal menjadi bahan politik pihak pembangkang, beliau berkata, perkara tersebut sentiasa berlaku.

"Apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan sentiasa dipolitikkan sedangkan ini melibatkan masa depan ekonomi negara kita. Jika negara terjejas, ini akan menimbulkan kesan buruk kepada rakyat seperti berlaku di beberapa buah negara sebelum ini," ujarnya.

Dalam menstrukturkan fiskal negara, kerajaan juga mengambil keputusan untuk mengkaji semula projek-projek mega bagi mengurangkan perbelanjaan dengan mengutamakan projek memberi impak besar kepada rakyat.

Projek yang melibatkan kadar import yang rendah akan didahulukan pelaksanaannya manakala yang tinggi akan ditangguhkan bagi mengimbangi kebergantungan kepada import bahan luar.

Sementara itu, mengulas mengenai penurunan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat, Najib berkata, ini disebabkan impak ekonomi antarabangsa dan di luar kawalan.

"Namun, Bank Negara sentiasa mengawasi keadaan semasa dan setakat ini tidak memberi tekanan tinggi kepada kita," jelasnya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment