GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, September 5, 2013

Bajet 2014: Penarafan kredit, TPPA, KDNK



ARKIB : 04/09/2013

Oleh Abdussalam Shokhawi
PENULIS ialah Ketua Jabatan GST dan Pengurus Projek GST di SALIHIN GST Services Sdn. Bhd.

MENURUT perancangan kerajaan, pembentangan Bajet 2014 akan dibuat pada 25 Oktober 2013 di Dewan Rakyat. Bajet pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini akan menjadi perhatian semua pihak yang ingin melihat buah tangan pertama daripada kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat bagi penggal baharu lima tahun yang diperbaharui pada Mei 2013 lalu.

Bagi kebanyakan pemerhati ekonomi dan politik, adalah tidak sukar untuk menelah apa yang bakal menjadi perhatian kerajaan kerana indikasi mengenainya telah pun dinyatakan dalam Manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya umum yang lalu. Namun begitu, perincian terhadap isi kandung bajet ini masih lagi menjadi aspek kejutan dan tetap dinanti-nantikan.

Seperti kebiasaan, bajet nasional ini perlu mengimbangi pelbagai perkara penting yang membebani kerajaan, daripada isu keperluan rakyat terbanyak, isu alam sekitar, isu keselamatan dalam dan luar negara, isu pendidikan, isu pembangunan ekonomi, isu percukaian dan banyak lagi.

Bagi isu pembangunan ekonomi, antara perkara terbesar yang perlu diberi perhatian kali ini adalah untuk memperlihatkan inisiatif-inisiatif hala tuju ekonomi yang mampan bagi mengukuhkan kedudukan fiskal dan makro ekonomi negara. Kerajaan perlu membuktikan komitmennya untuk menstabilkan situasi kredit negara serta menunjukkan prospek pelaksanaan pembaharuan bajet negara adalah tidak suram seperti yang ditakrifkan oleh agensi penarafan global, Fitch Ratings pada Julai 2013.

Dalam hal ini, kerajaan harus memperkasakan pentadbiran dan pengurusan sistem kewangan negara agar keyakinan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan di dalam sistem ekonomi negara termasuklah pelabur, bakal pelabur, pemiutang dan penghutang akan dapat dipertingkatkan.

Usaha tekun perlu digembleng untuk mengembalikan bajet berimbang serta menghasilkan petunjuk positif ekonomi seperti pengukuhan Ringgit berbanding mata wang utama dunia, peningkatan jumlah dagangan, pengurangan kredit, peningkatan eksport dan sebagainya.

Perkara ini bukan mudah untuk dilakukan kerana penurunan ramalan (outlook) penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif yang dibuat oleh Fitch Ratings telah memberikan impak yang besar terhadap situasi pasaran seperti kejatuhan pasaran saham di Bursa Malaysia dan pengucupan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika. Kesan pasaran ini juga adalah kesan berganda dan perlu ditangani segera dengan bijaksana oleh kerajaan untuk mengelak bencana kemelesetan ekonomi berulang lagi.

Selain isu penarafan Fitch Ratings, Bajet 2014 turut dijangka akan memperkatakan mengenai perkembangan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPPA yang melibatkan 12 buah negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Australia, Brunei, Malaysia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Jepun.

Pelbagai pihak telah menyatakan kerisauan mengenai isi kandung serta keseimbangan perjanjian perdagangan ini kerana faktor pengaruh negara kuasa besar yang diketuai oleh AS. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataan kritikalnya mengenai TPPA telah membangkitkan isu-isu ketelusan kerajaan dalam rundingan perjanjian tersebut serta melahirkan kebimbangan yang serius bahawa Malaysia bakal terdedah kepada risiko perjanjian berat sebelah terutamanya dalam memenuhi agenda tersirat AS terhadap negara kecil yang makmur seperti Malaysia.

TPPA sebenarnya adalah satu bentuk perjanjian bebas untuk menggalakkan kegiatan perdagangan dan pelaburan merentas sempadan di antara negara-negara yang menandatanganinya. TPPA menyediakan pelbagai manfaat pasaran yang memungkinkan syarikat-syarikat tempatan untuk berpeluang meneroka pasaran antarabangsa, memindahkan teknologi dan berkongsi ilmu pengetahuan.

Dalam hal lain, Bajet 2014 turut dijangka menjadi medium perbahasan mengenai pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru-baru ini telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada antara 5 peratus dan 6 peratus kepada antara 4.5 peratus dan 5 peratus.

Menurut kenyataan BNM, KDNK 2013 Malaysia telah disemak semula berikutan situasi ketidaktentuan yang belarutan dalam ekonomi global. Aktiviti eksport dalam separuh pertama tahun 2013 telah mencatatkan pertumbuhan yang negatif berikutan faktor persekitaran luar yang lemah dan ini amat memberikan kesan terhadap prestasi KDNK keseluruhannya.

Hakikatnya, di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, KDNK Malaysia masih mampu mencatatkan pertumbuhan pada kadar 4.3 peratus pada suku kedua tahun 2013 berbanding 4.1 peratus pada suku pertama. Statistik ini telah disumbangkan oleh kekukuhan asas ekonomi domestik yang merangsang teguh daya tahan ekonomi Malaysia. Jika dihurai secara menyeluruh, aktiviti sektor swasta telah menjadi faktor utama yang mendorong kepada perkembangan positif KDNK negara bagi separuh pertama 2013.

Tahukah anda bahawa situasi ekonomi di Malaysia sebenarnya telah dipantau secara dekat oleh pelbagai pihak yang berkepentingan sama ada di dalam dan luar negara? Mereka yang memantau termasuklah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kesatuan Eropah, ahli-ahli politik Barat, para pelabur asing yang berpotensi, negara-negara serantau serta spekulator-spekulator ekonomi yang sentiasa mencari ruang kelemahan untuk mengaut keuntungan atas kelalaian negara kita.

Beberapa pihak yang sedang memantau ini telah berusaha keras untuk mengubah landskap kehidupan masyarakat dunia dengan cogan kata "untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik". Mereka mencipta teknologi, mewujudkan persaingan dan menggubah polisi-polisi tingkah laku mengikut acuan mereka sendiri dan menjadikan pihak yang menolak order baru mereka sebagai menolak kemajuan dan minda tertutup.

Bukanlah sesuatu yang ganjil apabila Fitch Ratings menurunkan penarafan terhadap unjuran kredit Malaysia dengan tafsiran bahawa pengurusan kewangan Malaysia sedang melalui fasa yang lemah selepas Mei 2013 dan terdedah kepada sebarang kejutan ekonomi.

Pengumuman Fitch Ratings dibuat ketika AS memperlihatkan tekanan kepada Malaysia agar TPPA segera dimuktamadkan. Para pelabur asing pula menunjukkan reaksi dingin terhadap pasaran sehingga mengakibatkan mata dagangan Bursa Malaysia dan mata wang negara mengucup dengan agak ketara. Ini memaksa statistik ekonomi Malaysia dipotretkan sebagai tidak memberangsangkan, walaupun pada hakikatnya asas ekonomi domestik kekal kukuh.

Semua tindak-tanduk ini telah mendedahkan sikap membuli negara-negara kuasa besar ekonomi yang menginginkan Malaysia menari mengikut tempo yang ditetapkan oleh mereka. Matlamat utama negara-negara ini adalah untuk menguasai pasaran supaya ekonomi mereka sendiri akan terlindung dan stabil. Malaysia ditekan dengan pelbagai cara supaya tunduk kepada kemahuan mereka dan membuka pasaran secara bebas.

Secara realistiknya, ekonomi Malaysia masih berada dalam landasan yang teguh kerana dipacu oleh aktiviti dalam pasaran domestik yang berdaya tahan. Namun begitu, untuk Malaysia bergerak kehadapan dalam situasi ekonomi global yang dikawal (walaupun Barat selalu mengatakan bahawa pasaran sepatutnya bebas), penyesuaian yang signifikan wajar dilakukan untuk mengimbangi segala tindak balas persekitaran global.

Ekonomi Malaysia tidak selamanya mampu bertahan dengan kapasiti domestik kerana pada akhirnya yang menerima bebanan adalah pelabur tempatan dan rakyat. Sifat globalisasi tidak memungkinkan ekonomi Malaysia mampu menyerap ancaman luaran yang berterusan mendesak. Malaysia perlu menggunakan strategi menyerang atau berkawan berbanding memilih untuk bertahan sahaja.

Untuk itu, Malaysia perlu pantas membuat transformasi melalui caranya sendiri serta berani mengambil risiko untuk mengelakkan daripada dipandang rendah oleh negara-negara kuasa besar. Malaysia pernah melakukannya dua kali dengan membuat transformasi melawan arus untuk keluar daripada krisis ekonomi pada tahun 1987 dan 1997. Kejayaan ini telah memberikan makna besar kepada Malaysia sehinggakan dunia menjadi kelu dan terpaksa mengiktiraf apa yang dilakukan sebagai sesuatu yang sangat hebat (walaupun mengambil masa yang lama untuk mengiktiraf).



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment