GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, September 5, 2013

Malaysia duduki tempat ke-24 dalam GCR


2013/09/04 - 07:41:22 AM

MALAYSIA terus memperbaiki kedudukannya sebagai negara paling berdaya saing di dunia apabila World Economic Forum (WEF) menyenaraikan negara ini di kedudukan ke-24 daripada 148 negara dalam Laporan Daya Saing Global (GCR) 2013-2014 daripada ke-25 sebelum ini. 

Kedudukan negara ini turut meningkat satu anak tangga ke tempat ketujuh dalam kalangan 25 negara di Asia Pasifik dan mengekalkan kedudukan di tempat kedua sebagai negara paling berdaya saing di ASEAN. 

Sesuatu yang turut memberangsangkan ialah Malaysia disenaraikan dalam kalangan 10 negara paling berdaya saing dari segi inovasi serta kekukuhan rangka kerja institusi. 

Kajian WEF, sebuah organisasi yang berpangkalan di Switzerland itu meletakkan negara ini di kedudukan teratas dalam kalangan 22 negara yang berada dalam kategori negara yang berada dalam tahap peralihan daripada ekonomi yang berasaskan kecekapan kepada yang dipacu inovasi, dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita kepada AS$10,304 (kira-kira RM33,864) tahun lalu berbanding AS$9,700 (kira-kira RM31,879) tahun sebelumnya. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata mengikut penilaian WEF, kekuatan Malaysia yang paling ketara adalah pasaran barangan dan perkhidmatannya yang cekap dan berdaya saing, pasaran kewangan yang kukuh, dan kerangka institusi yang mesra perniagaan. 

Katanya, prestasi itu disokong oleh beberapa penanda aras termasuk jumlah prosedur memulakan perniagaan yang mana Malaysia kini berada pada kedudukan ke-10 serta lonjakan dalam kedudukan kadar cukai keseluruhan sebanyak 30 anak tangga ke tempat ke-20. 

“Malaysia turut mengekalkan kedudukan keenam dalam pembangunan pasaran kewangan yang menjadi bidang terkuat negara ini berdasarkan prestasi konsisten sejak beberapa tahun lalu, selain turut disumbangkan kemudahan akses pembiayaan dan penyediaan dana modal teroka. 
“WEF bagaimanapun memberi amaran Malaysia perlu berdepan dan menyelesaikan cabaran lebih kritikal terhadap daya saingnya termasuk defisit bajet kerajaan pada 4.3 peratus daripada nilai KDNK pada 2012; pembabitan wanita yang rendah dalam tenaga buruh yang berterusan; dan kesediaan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan mengumumkan laporan itu. 

Mustapa berkata, walaupun berjaya meningkat satu anak tangga tahun ini, kerajaan sedar masih banyak yang perlu dilakukan termasuk merasionalisasikan subsidi, melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan penambahbaikan pendidikan dan latihan. 

Kerajaan juga, katanya perlu mengutamakan langkah meningkatkan pembabitan pekerja wanita dalam pasaran pekerjaan negara. 

Pelaksanaan program Digital Malaysia, iaitu program kebangsaan yang disasarkan mewujudkan ekosistem yang akan menghubungkan Malaysia di peringkat global dalam masa sebenar pula dijangkakan memperbaiki prestasi dari segi kesediaan teknologi, katanya. 

Mustapa menegaskan, sementara kerajaan terus meningkatkan usaha untuk melaksanakan program transformasi ekonomi dan pentadbirannya, sektor swasta perlu turut memainkan peranan bagi memastikan Malaysia terus dapat memperbaiki kedudukan daya saingnya. 

Dalam hubungan itu, katanya Perbadanan Produktiviti (MPC) akan menerajui peranan dalam usaha meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment