GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, March 5, 2014

Universiti Malaysia Sabah anjur ceramah mengenai GST


Janathan Kandok menyampaikan ceramah Jaringan Komuniti mengenai
Cukai Barangan dan Perkhidmatan di UMS, Sabah, baru-baru ini.
KOTA KINABALU 4 Mac - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Siri Ceramah Jaringan Komuniti Tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai ruang perkongsian ilmu bagi memberi nilai tambah kepada warga kampus universiti tersebut dan penduduk setempat.

Ceramah yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri (PHI), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP) serta Jabatan Kastam Negeri Sabah itu bertujuan memberi pendedahan sebenar tentang pelaksanaan GST yang bakal dilaksanakan pada 1 April 2015.

Ceramah yang turut mendapat kerjasama Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (PPUMS) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dihadiri Dekan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial universiti berkenaan, Prof. Dr. Ismail Ibrahim; Presiden PPUMS, Zawawi Tiyunin dan Presiden MPP UMS, Fandyi Sanizan Jurup.

Menurut Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah, Datuk Dr. Janathan Kandok, GST yang bakal dilaksanakan kelak tidak akan membebankan ekoran jumlah cukai yang dikenakan hanya enam peratus berbanding sistem cukai sedia ada.

"Adalah penting bagi rakyat untuk mengetahui bahawa GST bukan cukai ditambah, sebaliknya menggantikan Sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)," katanya.

Beliau yang juga alumni UMS berkata, cukai SST akan dimansuhkan kerana terdapat kelemahan pada sistem tersebut yang dilihat lebih merugikan rakyat.

Tambahnya, GST merupakan sistem percukaian yang lebih cekap, berkesan, telus dan mesra pelanggan berbanding sistem SST yang mengenakan lebih daripada enam peratus bagi setiap perkhidmatan pembelian barangan.

"Saya juga ingin menekankan bahawa GST bukan satu strategi politik kerana idea untuk melaksanakan cukai itu telah bermula sejak tahun 80-an lagi," katanya.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat perlu melihat GST sebagai satu strategi ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat melalui penambahbaikan kemudahan sekolah, jalan raya, pengangkutan awam, perkhidmatan kesihatan dan lain-lain lagi.

Terdahulu, Pengarah PHI, Prof. Madya Dr. Ho Chong Mun berkata, penganjuran ceramah tersebut adalah satu contoh kerjasama efektif PHI dengan komuniti yang merupakan asas kepada pewujudan Bahagian Jaringan Universiti-Komuniti di UMS.

Katanya, PHI akan melaksanakan lebih banyak kolaborasi seperti ini bagi merealisasikan peranan dan fungsi PHI sebagai pemangkin perkembangan ilmu dalam kalangan komuniti setempat serta saluran menerangkan program atau dasar kerajaan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment