GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, March 4, 2014

UMNO Kelantan tubuh Skuad Taklim di semua PDM


KOTA BHARU 3 Mac - Pergerakan Wanita UMNO Negeri Kelantan akan mewujudkan Skuad Taklim di seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM) di negeri ini bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mendalami ilmu agama.

Ketuanya, Datin Rahimah Mohamad berkata, program yang berbentuk keagamaan itu akan dilaksanakan di 517 PDM seluruh negeri secara berperingkat-peringkat bermula Mei ini.

Beliau berkata, dalam masa yang sama perlaksanaan skuad itu juga dapat membantu mengimarahkan masjid serta surau yang ada di setiap kawasan.

"Menerusi program ini, Skuad Taklim akan bertindak sebagai medium bagi mengajak golongan wanita di akar umbi untuk bersama-sama mempelajari ilmu agama.

"Perlaksanaan ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan sebagai permulaan, kita akan memilih lima buah kawasan bagi setiap bahagian sebelum diperluaskan ke seluruh PDM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Kesedaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan GST kepada Pemimpin Wanita Kelantan di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan di sini kelmarin.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Pelaksanaan GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan, Rohani Omar dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Zarina Md. Eusope.

Dalam majlis tersebut, para peserta terdiri daripada pemimpin wanita di peringkat bahagian serta cawangan hadir bagi mendengar penerangan khusus mengenai GST.

Rahimah berkata, sehingga kini, sebanyak 140 tenaga pengajar daripada anggota Pergerakan Wanita UMNO dikenal pasti untuk melaksanakan program itu.

"Tenaga pengajar kita adalah dalam kalangan Pergerakan Wanita di mana mereka akan diberi kursus oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) terlebih dahulu," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Pergerakan Wanita UMNO negeri kini giat memperkemaskan jentera Jalinan Rakyat (JR) sedia ada.

"Sehingga kini, kita sudah mempunyai kira-kira 17,000 ahli JR di mana seorang JR perlu memantau 10 buah rumah.

"Bilangan ini mungkin bertambah kerana saya berharap langkah ini akan mencapai sasaran kita untuk mendekati rakyat," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment