GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, March 3, 2014

CUEPACS cadang naik gaji minimum 30 peratus


KOTA BHARU 2 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya gaji minimum penjawat awam dinaikkan sebanyak 30 peratus.

Presidennya, Azih Muda berkata, cadangan ini seiring dengan kenaikan harga barang yang memberi tekanan hidup kepada kakitangan awam berjawatan rendah.

Beliau berkata, kenaikan tersebut adalah wajar memandangkan gaji minimum sekarang tidak mencukupi untuk menampung kehidupan.

"Kenaikan harga barang memberikan tekanan kepada rakyat terutama penjawat awam berpendapatan rendah.

"Justeru, kenaikan gaji minimum kepada RM1,200 daripada RM900 sebulan membantu penjawat awam untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Penerangan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dewan Dato' Ahmad Padzli, Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Yahaya Mamat. Yang turut hadir, Pengerusi CUEPACS Kelantan, Aminuddin Awang.

Menurut Azih, kenaikan gaji minimum itu perlu dilakukan segera kerana mereka adalah tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan.

"Kebajikan mereka harus dibela. Jadi, saya berharap kerajaan akan membantu dan memberi keutamaan dalam isu kenaikan gaji ini," katanya.

Sementara itu beliau berkata, CUEPACS turut mencadangkan supaya kerajaan menambah jumlah katil di hospital awam bagi menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat.

"Hospital kerajaan terpaksa menampung lebih 10 peratus rakyat Malaysia tidak termasuk pekerja asing serta pesakit luar.

"Keadaan tersebut menyebabkan jumlah katil di hospital tidak mampu menampung bilangan pesakit terutama kakitangan awam," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment