GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, March 4, 2014

Najib tidak setuju Dr Mahathir, BR1M subsidi bersasar

OLEH MOHD FARHAN DARWIS 
MARCH 03, 2014

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertegas menyatakan BR1M dapat membantu rakyat berpendapatan rendah. Gambar fail.Meskipun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mempertikaikan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Datuk Seri Najib Razak sebaliknya mempertahankan pemberian "one-off" secara tunai itu kerana ia merupakan subsidi bersasar.

Perdana menteri berkata, pemberian wang tunai sebanyak RM650 kepada isi rumah berpendapatan rendah dan RM250 kepada individu bujang membantu perkembangan ekonomi domestik.

"Lebih baik kurangkan subsidi pukal kepada subsidi bersasar. Melalui BR1M dan BR1M ketiga ini, lebih 7 juta isi umah (menerima BR1M) dengan perbelanjaan RM4.6 bilion.

"Hari pertama sudah ramai pergi Sogo, ramai pergi pasar minggu," kata Najib ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir semalam mempersoalkan program BR1M kerajaan pimpinan Najib, dan mengingatkan ahli politik Barisan Nasional (BN) supaya tidak berada dalam khayalan bahawa pemberian tunai secara meluas seperti itu boleh memberikan sokongan yang lebih kepada kerajaan.

"Perlukah kita akan BR1M? Tanpa BR1M pun, kita pernah mendapat sokongan rakyat," tulis Dr Mahathir dalam blognya, CheDet.cc.

"Jika mereka tidak sokong, ia adalah kerana mereka tidak puas hati dengan sesuatu, malah mungkin tentang BR1M. Cari sebab mengapa mereka tidak puas hati dan anda akan tahu apa perlu dilakukan," katanya dipetik daripada blog berkenaan.

Mempertahankan polisinya itu, Najib berkata, melalui pemberian BR1M, selain individu penerima menerima manfaat, ekonomi tempatan turut berkembang, berbanding subsidi pukal.

"Teori ekonomi kita adalah, kurang subsidi kita boleh tambah peruntukan untuk pembangunan.

"Saya berharap Rancangan Malaysia ke-11 kita boleh tambah peruntukan lagi untuk pembangunan. Pembangunan mesti tambah lagi dan tidak boleh tambah melalui berhutang.

"Kalau hutang terus bertambah ekonomi akan merudum," katanya.

Najib berkata, beliau sedia maklum kesan sampingan daripada dasar rasionalisasi subsidi yang digunakan kerajaan BN akan meningkatkan kos sara hidup rakyat, namun perkara itu hanyalah bersifat sementara.

"Dasar rasionalisasi memang tepat walaupun sehari dua berlaku isu kos kenaikan hidup, kita amat sensitif.

"Pelbagai usaha kita lakukan, harga pun bertambah stabil lagi. Kita memang memberi perhatian tentang masalah rakyat, kita boleh bantu rakyat lagi," katanya.

Rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan menyaksikan penarikan balik beberapa subsidi seperti gula dan bahan api menyaksikan harga beberapa barangan keperluan pengguna meningkat.

Selain itu, dasar berkenaan turut menyaksikan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% bagi menggantikan Cukai Perkhidmatan dan Cukai Jualan sebanyak 10%.

Dalam kritikannya yang disiarkan semalam mengenai BR1M, Dr Mahathir juga memberikan perkiraan jumlah besar terpaksa dibelanjakan kerajaan bagi menampung pemberian BR1M.

"RM500 seorang untuk 7 juta orang bermakna kerajaan membelanjakan RM3.5 billion. Jika kadar BR1M ditambah kepada RM1,200, kos ini menjadi RM8.4 billion.

“Ini jumlah wang yang banyak. Tetapi masih ramai lagi orang miskin di negara ini," tulisnya, sambil menambah bahawa walaupun beliau menyokong kerajaan, ada beberapa perkara yang beliau tidak bersetuju.

Putrajaya mengumumkan fasa ketiga program BR1M tahun ini, dengan nilai bantuan ditambah daripada RM500 kepada RM650 bagi kategori isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, manakala RM450 bagi kategori berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000.

Warga emas sebatang kara berumur 60 tahun menerima kenaikan RM100, menjadikan jumlah bantuan RM650, manakala bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan RM2,000 dan ke bawah diberi penambahan RM50, menjadikan bantuan kepada RM300. - 3 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment