Publication: BH
Date of publication: Dec 20, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 008
MCA akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan kaum Cina walaupun masyarakat itu masih berprasangka terhadap kredibiliti parti berkenaan.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata MCA tidak akan membenarkan kepentingan kaum Cina diperlekehkan walaupun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menyebabkan parti itu tiada wakil dalam Kabinet.
Beliau mengakui, kegagalan MCA dalam PRU-13 membawa kepada pengenalan pelbagai dasar kerajaan yang merugikan masyarakat Cina.
"Keadaan dilihat semakin membimbangkan kerana kerajaan tidak sewajarnya menerapkan kepemimpinan ke arah ekstremisme, sebaliknya merangka dasar yang bersifat menyeluruh dengan mengambil kira kepentingan semua kaum.
Kembalikan sokongan
"Saya pasti dengan dasar seperti itu, sokongan kaum Cina dan Melayu yang berpaling tadah kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 dapat dikembalikan," katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda MCA Ke-49 di sini, semalam.
Ka Siong berkata, konsep 1Malaysia dan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sewajarnya terus menjadi asas dalam menggubal dasar kerajaan.
"Rasionalisasi subsidi seperti petrol, gula dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga perlu disusuli dengan pelbagai insentif untuk membantu meringankan beban rakyat.
"Saya juga minta kerajaan mengkaji semula kadar GST sebanyak 6 peratus dan memperluaskan kategori barangan yang dikecualikan cukai khususnya keperluan harian," katanya.
Keliru kesan GST
Rakyat jelas beliau, masih keliru dengan kesan GST, justeru penjelasan secara menyeluruh perlu bagi memastikan ia tidak dijadikan modal oleh pembangkang terus meracuni pemikiran rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong berkata, kerajaan perlu mempelbagaikan wadah khusus untuk belia bagi menceburi bidang ekonomi dan mengetengahkan bakat mereka.
No comments:
Post a Comment