GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, December 23, 2013

Kaji kadar pendapatan selari kos sara hidup


2013/12/22 - 06:55:46 AM

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mengkaji beberapa langkah untuk memastikan kadar gaji rakyat selari dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Katanya, kajian mengenainya sudah pun dimulakan dan keputusannya dijangka diperoleh bulan depan. 

“Dari situ kita akan putuskan langkah mana yang akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar mengenai wakaf anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai rungutan rakyat mengenai kenaikan kos sara hidup yang dilihat tidak seiring dengan pendapatan mereka.

Rasionalisasi subsidi

Ahmad Husni berkata, kerajaan juga dalam masa yang sama sedang menjalankan kajian berkenaan rasionalisasi subsidi, bertujuan untuk memaksimumkan bantuan kepada golongan sasaran melalui penyemakan semula subsidi.

“Pada tahun hadapan, kita akan beri BR1M seperti biasa, namun kita akan tambahkan jumlahnya.

“Kita sedang melihat secara menyeluruh rasionalisasi subsidi sebagai satu model baru, dan bagaimana kita mahu kaitkan BR1M dengan rasionalisasi ini untuk memberi manfaat yang lebih tinggi kepada rakyat berbanding sekarang,” katanya. 

Ahmad Husni berkata, model sebelum ini menguntungkan rakyat secara keseluruhannya namun bersifat kurang adil di mana beliau mengambil contoh subsidi bagi minyak petrol. 

Katanya, berdasarkan model subsidi yang lama, keluarga yang hanya mempunyai motosikal mendapat subsidi minyak yang sedikit berbanding keluarga yang mempunyai empat kereta.

“Jadi, kita sedang melihat kepada model sedia ada supaya kita dapat membuat satu pengukuran kepada golongan disasarkan dalam konteks memberi bantuan lebih tinggi.

“Jadi untuk jangka masa panjang, fokusnya harus kepada kenaikan gaji rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan dakwaan pembangkang bahawa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan membebankan rakyat tidak berasas dan hanya sekadar bersifat menentang setiap rancangan kerajaan.

“Mereka menentang pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lebuh Raya Utara-Selatan, Putrajaya, KLCC dan sebagainya. Tapi sekarang, adakah mereka masih menentang projek ini?

Ekuiti Bumiputera rendah

“Jadi apa yang penting pada saya, jika dia (pembangkang) mahu bising, bisinglah,” katanya mengulas mengenai pelancaran buku oleh pembangkang bertajuk ‘Faham GST, tolak GST’ yang dibimbangi mengelirukan rakyat mengenai GST.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Husni menyatakan rasa bimbangnya mengenai pemilikan ekuiti Bumiputera yang masih rendah, iaitu pada tahap 23.5 peratus pada 2012.

“Jika kita ingin pemilikan kekayaan Bumiputera mencecah 30 peratus, adalah perlu kadar peningkatan kekayaan Bumiputera berkembang lebih laju dari kadar pertumbuhan pendapatan kasar negara,” katanya.

Ahmad Husni turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum bagi Pusat Antarabangsa Untuk Penyelidikan Wakaf, bagi membangunkan industri wakaf negara.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment