GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, December 27, 2013

Jong pecah, yu kenyang


ARKIB : 26/12/2013
Oleh Dr. Siva
ANTARA gelagat perayu undi kedua-dua parti di Sekolah Kebangsaan Sedaka,
Yan, Kedah, pada Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau, November lalu. -
utusan/NOORADZRENE MOHD. NOOR
TEMPOH 365 hari sudah hampir sampai ke penghujungnya untuk tahun 2013. Ketika diawal tahun 2013, cakap-cakap ketika itu adalah 2013 merupakan tahun Pilihan Raya Umum (PRU). Sepanjang empat bulan pertama 2013, kita melihat ia lebih bersifat usaha berterusan untuk memenangi hati rakyat dengan kad laporan mentadbir sejak PRU Ke-12 2008 sehingga ke April 2013.

Kedua-duanya, baik Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang menggunakan perubahan lanskap politik arus perdana untuk memerangi persepsi pengundi agar berkecenderungan untuk sama ada kekal atau berubah tampuk pemerintahan di Putrajaya. ‘Ini Kalilah’ dan ‘Lain Kali Lah’ menjadi sebutan ramai. Akhirnya, pada 5 Mei 2013, PRU Ke-13 diadakan. BN kekal memerintah dengan 133 kerusi yang dimenangi berbanding gabungan parti pembangkang sebanyak 89 kerusi.

Dua Pilihan Raya Kecil (PRK) juga telah diadakan sejak Mei 2013; kekosongan kerana kematian dan keputusannya bersifat status-quo baik di Kuala Besut (BN-Terengganu) mahupun Sungai Limau (Pas-Kedah).

Dengan berakhirnya PRU Ke-13, pasca PRU Ke-13 pula memaparkan senario untuk meneruskan warisan kepimpinan dan bagi gabungan parti pembangkang, sudah pasti rancangan disusun untuk tidak menggagalkan usaha menawan Putrajaya lagi walaupun sekitar tiga bulan pertama parti-parti politik di peringkat nasional agak kepenatan, lesu, panik dan cemas melihat kewajaran keputusan PRU tersebut walaupun cergas berhadapan dengan pemilihan dalam parti.

Pemilihan berlaku dalam parti UMNO, Gerakan, MIC, Pas, DAP dan MCA. Ia melengkapkan cakap-cakap politik tanah air di penghujung tahun walaupun tidak sehangat di awal tahun 2013.

Bagi BN, apakah langkah seterusnya apabila melihat cabaran yang perlu ditangani. Adakah keputusan 133 kerusi akan kekal, naik atau menurun jika PRU diadakan esok, misalnya?

Beberapa persoalan dasar boleh dinilai semula oleh BN dalam mengatur perancangan strategik untuk tahun akan datang. Antaranya, ‘BN untuk siapa’ merupakan persoalan yang perlu dirungkai dan adakah kesemua parti komponen mempunyai jawapannya selepas berakhirnya pemilihan parti?

Kedua, adakah ‘parti menguasai kerajaan’ atau ‘kerajaan kuasai parti’ yang kini seolah-olah sering terlepas pandang walaupun saga politik berbeza. Ketiga, ‘di manakah BN lima tahun akan datang’; bersifat futuristik bukan bermakna melenyapkan sejarah parti tetapi membayangkan kedudukan masa depan dan bergerak 1,500 hari (anggaran kasar sebelum PRU Ke-14) ke belakang dalam menetapkan perancangan untuk menguasai sokongan dengan mengambil-kira senario terkini.

Peranan sebagai kerajaan dan pertubuhan politik adalah unik dan berbeza malahan barangkali ini akan membantu mencerna keadaan lesu pembabitan golongan belia dan beliawanis dalam parti hari ini. Proses ‘imbang dan periksa’ amat diperlukan supaya suara-suara kritikal tidak dilihat membangkang tetapi merupakan suara keramat yang mahu pembaharuan berterusan dari dalam parti. Jika ini dihalusi, ia boleh membawa lonjakan drastik pembabitan golongan muda belia.

Yang penting untuk dijadikan sebagai asas untuk bergerak ke hadapan adalah proses mengurus kejayaan keputusan yang diperolehi dalam PRU lalu yang mungkin diidamkan oleh parti seperti Parti Kongres di India dan LDP di Jepun. Mengatur pengurusan negara yang sedang membangun berbanding yang sedang pesat membangun dan mahu merealisasikan Wawasan 2020 adalah berbeza pendekatannya.

Perubahan kadar celik huruf, perbandaran, prasarana, kemudahan dan infrastruktur menunjukkan pencapaian Malaysia dalam isu ekonomi dan sosial sudah berbeza. Ia juga menjadi faktor penarik dan penolak ke atas pemetaan pemikiran politik semasa kerana peka kepada perubahan cita rasa persekitaran yang dihuni.

Ini bermakna, setiap pergerakan diteliti akibat pencapaian kejayaan tetapi kegagalan mengurus kejayaan akan membawa kepada pertembungan bukan di antara kerajaan dan pihak lawan tetapi kerajaan dan massa yang mana dalam Malaysia ia masih stabil. Namun, adakah ia akan bersifat kekal mengikut tilikan pihak berwajib terutama dalam kalangan kelompok ‘pertengahan’ atau ‘atas pagar’.

BN juga mesti melihat persoalan ‘siapa jauhi siapa’? Adakah ini lahir dari pengurusan kejayaan sehingga wujud kelompok yang sama ada bersama dalam proses mempertahankan kecemerlangan ataupun di sebaliknya. Ada yang ketika bersama pemimpin menyatakan semuanya baik belaka tetapi bila balik ke kawasan masing-masing memulakan perang saraf menentang kepimpinan tersebut mempengaruhi penyokong mereka kerana gagal dalam konteks perolehan peribadi dan bukan untuk parti.

‘Sokong bawa rebah’ amat berbahaya kepada parti kerana retorik ini akan sentiasa diingati oleh pengundi lima tahun lagi. Adakah sudah tiba masanya pendekatan kepimpinan perlu diubah tanpa bergantung kepada pihak tertentu tetapi melakukannya sendiri. Adakah pemimpin perlu menjadi pemandu teksi, pengunting rambut, pelayan kedai kopi atau wartawan mahupun penjual di pasar untuk memahami apa yang sedang dilalui oleh masyarakat agar tidak dilihat selesa dengan apa yang ada. Rondaan di waktu malam pernah dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab untuk mengenal denyut nadi rakyatnya.

Adakah isu muktahir seperti ungkapan ‘petrol naik, elektrik naik, tol naik, gula naik, tambang bas naik, cukai pintu naik, tambang LRT naik, air naik, astro naik dan GST’ dibisik kepada kepimpinan atasan oleh pembesar politik akar umbi akan kesannya sebagaimana yang disenyapkan oleh sesetengah pihak untuk digunakan selepas 1500 hari lagi sebaik sahaja bermula kempen PRU Ke-14?

Apakah remedi yang terbaik atau kaedah alternatif untuk mengatasi kemelut ini bilamana akujanji PRU turut dipersoal oleh penyokong tegar sendiri yakni gurkha parti yang bertanggungjawab memastikan ‘jong tidak pecah, yu kelaparan’?

Barangkali, isu seperti ini memerlukan kompromi dan pengorbanan melangkaui ideologi politik agar kedua-duanya baik parti pemerintah mahupun pembangkang dapat duduk semeja melihat kepada masa depan kesejahteraan rakyat.

Politik berbakti@berhemah tidak boleh dipinggirkan kerana kelak ‘Jong pecah, Yu kencang’. Manifesto PRU sudah dijadikan kitab rujukan oleh pelbagai pihak dan jika ia dirungkai dalam jangkamasa 12 bulan akan datang, maka hasilnya akan memanfaatkan bukan sahaja massa tetapi parti sendiri.

Menilik semula apa yang sudah dilakukan sepanjang tujuh bulan lalu penting dalam mengorak langkah tahun 2014. Muhasabah dan perbetulkan kekhilafan sebagaimana yang pernah diungkap oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dijadikan nota kaki agar kekuatan untuk melakukan transformasi bersifat konsisten dan bukan lagi memikirkan cara untuk berubah.

Pasukan sudah dibina, pasukan ini juga harus pastikan perpaduan, mantapkan barisan, perkemaskan strategi agar bilamana taufan atau halilintar melanda sekalipun, jong belayar deras dan kental bersandarkan kebijakan keseluruhan mereka yang berada dalam jong tersebut; ia sukar digugat hanya kerana keazaman menyusun secara kreatif dan tidak lalai dalam kegusaran persekitarannya kerana yang menanti jong akan dikemudi kembali di pesisiran laut dengan selamat adalah mereka yang berharapan besar, menanti suluhan masa depan yang jauh lebih baik dari tahun 2013.

PROFESOR MADYA
DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment