GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, December 23, 2013

GST: Kenaikan harga hartanah tidak dapat dielak


by Patricia Gari. Posted on December 18, 2013, Wednesday
SEDIKIT NAIK: Sim (dua kiri) pada sidang media mengenai GST dalam
sektor pembinaan dan hartanah di Kuchin,g semalam. Turut kelihatan
(dari kanan) Noelle, Lau dan Siti.
Peningkatan tidak akan berlaku secara automatik kerana harga rumah turut ditentukan oleh faktor lain

KUCHING: Kenaikan harga hartanah kediaman tidak dapat dielakkan apabila Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 April 2015.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Sim Kiang Chiok, peningkatan itu tidak akan berlaku secara automatik kerana harga rumah turut ditentukan oleh faktor-faktor lain.

“Hartanah kediaman dikecualikan daripada GST, bermakna input kos bahan binaan dan sebagainya akan ditanggung oleh kontruktor serta pemaju.

“Justeru, ini akan menyebabkan berlakunya sedikit peningkatan pada kos pembinaan, tetapi kos ini tidak secara automatik enam peratus. Ia mungkin boleh lebih rendah daripada itu kerana simpanan dari Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) tetapi ia tidak akan meningkatkan harga rumah secara automatik,” ujarnya pada sidang media semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri seminar bertajuk ‘GST Dalam Sektor Hartanah dan Pembinaan’ anjuran SHEDA dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini.

Sim menambah, kenaikan harga rumah dipengaruhi beberapa faktor antaranya lokasi, permintaan dan tawaran serta situasi ekonomi semasa yang memerlukan penyelarasan harga dilakukan.

“Terdapat perbezaan antara kos binaan dan harga rumah. Jika pemaju membina di lokasi yang tidak laris, agak jauh dari pusat bandar, walaupun kos pembinaan meningkat, usaha menaikkan harga rumah di situ adalah keputusan yang tidak rasional, tidak ada orang mahu beli.

“Jika hartanah kediaman dibina di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi, harga boleh dinaikkan kerana tetap ada pembeli. Mana tahu mungkin harga rumah akan turun selepas GST dilaksanakan,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, SHEDA kini mempersiapkan ahlinya bagi pelaksanaan GST dan penganjuran seminar itu antara usaha diambil persatuan untuk memaklumkan ahlinya mengenai GST terutama cara ia dilaksanakan.

Menerusi seminar sehari itu yang dikendalikan oleh pegawai JKDM dari Putrajaya, beliau berkata ia akan memperkukuhkan pemahaman ahlinya tentang bagaimana GST dilaksanakan dalam industri pembinaan hartanah.

“Diharap menerusi seminar ini, ahli SHEDA akan lebih faham bagaimana GST dilaksanakan dalam sektor binaan dan hartanah, cara mengendalikan akaun, menyiapkan dokumen-dokumen perundangan, apa barangan serta perkhidmatan yang dikenakan GST, cara membayar dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit GST, JKDM Putra Jaya, Lau Thye Mun yang hadir sama pada sidang media itu berkata, pemaju serta kontraktor binaan perlu mendaftar dengan jabatan itu sebelum 31 Mac 2015 bagi mengelak daripada dikenakan denda.

Lau berkata, denda maksimum RM6,500 akan dikenakan di bawah Rang Undang-Undang GST.

“Saya menggalakkan pemaju serta kontraktor mendaftar awal bagi mengelak dikenakan denda,” katanya sambil menambah Rang Undang-Undang GST yang lengkap kini sedang dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan.

Hadir sama Penolong Pengarah Unit GST, JKDM Putrajaya Siti Zaleha Osman dan Ketua Jabatan Unit GST, JKDM Sarawak Noelle Lily Morse.

No comments:

Post a Comment