GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, October 8, 2013

Pelaksanaan GST perlu disegera


2013/10/08 - 04:40:32 AM 

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu disegerakan pelaksanaannya untuk mengekalkan daya saing Malaysia dalam menarik lebih banyak pelaburan, mengekalkan kemapanan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, kata seorang ahli ekonomi. 

Naib Presiden Kanan Bahagian Penyelidikan Ekonomi Kenanga Investment Bank, Wan Suhaimie Saidie, berkata pelaksanaan GST akan membantu mengecilkan defisit serta hutang negara dan ia secara langsung membantu Malaysia memperoleh penarafan hutang yang kukuh di peringkat antarabangsa. 

Beliau berkata, GST juga akan membolehkan kerajaan mengurangkan kadar cukai pendapatan individu dan korporat secara berperingkat. 

Kukuhkan pendapatan 

“Semua faktor itu bukan saja menambah pendapatan negara, malah mengukuhkan pendapatan perkapita dan menarik lebih banyak pelaburan yang menawarkan pekerjaan bernilai tinggi pada masa depan,” katanya pada taklimat media mengenai tinjauan ekonomi suku keempat dan separuh kedua 2013 Kenanga Investment Bank di Kuala Lumpur, semalam. 

Wan Suhaimie menjangkakan kadar awal GST adalah antara empat hingga tujuh peratus, namun kerajaan mungkin juga memulakannya pada lima peratus. 

Katanya, daripada segi tempoh pelaksanaan, ia dijangka seawal pertengahan tahun depan atau selewat-lewatnya pada 1 Januari 2015 jika cadangan pelaksanaannya diumumkan pada pembentangan Bajet 2014 hujung bulan ini. 
“Jika dilaksanakan pada 1 Julai 2014 dengan kadar awal lima peratus, ia berupaya menambah pendapatan fiskal antara RM3 bilion hingga RM4 bilion bagi sepanjang 2014 serta mampu mengimbangi kehilangan pendapatan cukai perkhidmatan dan jualan (SST) selama enam bulan. Ia akan mengurangkan defisit fiskal antara 0.2 hingga 0.4 peratus pada tahun depan. 

Unjuran defisit fiskal menguncup 

“Berikutan itu, kami mengunjurkan defisit fiskal akan menguncup kepada 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014 berbanding empat peratus tahun ini. Kesannya akan lebih jelas pada 2015 apabila defisit dijangka terus mengecil kepada 3.1 peratus,” katanya. 

Wan Suhaimie menjangkakan inflasi akan meningkat sedikit apabila cukai baru itu dilaksanakan, tetapi masih pada paras yang mampu ditangani antara 3.0 hingga 3.3 peratus pada 2014 dan 2.7 hingga 3.1 peratus pada 2015. 

“Namun, kenaikan itu lebih daripada mampu diimbangi oleh pengurangan cukai pendapatan individu dan korporat, peningkatan pendapatan perkapita serta kemasukan lebih banyak pelaburan besar yang menyumbang kepada pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya. 

Beliau memberi contoh Australia yang menyaksikan pendapatan perkapita rakyatnya meningkat lebih tiga kali ganda kepada AS$67,000 sekarang berbanding hanya kira-kira AS$20,000 semasa memulakan GST pada 2000. 

Pendapatan perkapita di Singapura pula, katanya melonjak kepada AS$51,000 sekarang daripada AS$18,000 semasa mula melaksanakan cukai itu. 

Jelasnya, Australia dan Singapura boleh dijadikan perbandingan kerana mempunyai geografi, demografi, budaya dan sistem perundangan yang hampir menyamai Malaysia.

No comments:

Post a Comment