Publication: BH
Date of publication: Oct 9, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Zuraidah Mohamed
Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) akan terus memberikan pengiktirafan kepada individu yang berjasa dalam masyarakat menerusi Anugerah My Hero yang akan diadakan setiap tahun.
Presidennya, Datuk Ter Leong Yap, berkata pihaknya juga sentiasa meninjau peluang kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk media bagi melaksanakan lebih banyak projek dan aktiviti ke arah menggalakkan perpaduan dan keharmonian negara.
Sehubungan itu, katanya KLSCCCI menubuhkan tabung Dana Perpaduan dengan dana permulaan sebanyak RM100,000 bagi membolehkan lebih banyak program ke arah perpaduan rakyat dapat dilaksanakan.
"Kami bercadang untuk mengadakan Anugerah My Hero ini setiap tahun berikutan sambutan baik yang diterima setakat ini. Langkah melanjutkan tarikh tutup penyertaannya sehingga akhir bulan ini adalah antara inisiatif berterusan kami bagi membolehkan lebih ramai dapat menzahirkan penghargaan kepada insan yang berjasa," katanya pada sidang media selepas pelancaran Anugerah My Hero di Kuala Lumpur, semalam.
Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup. Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah My Hero, Tan Tian Meng.
Anugerah My Hero diadakan dengan kerjasama akhbar Nanyang Siang Pau yang mendapat sokongan Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Perpaduan dan Integrasi) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).
Berita Harian (BH) dan New Straits Times adalah akhbar rasmi manakala Sunsuria Development Sdn Bhd adalah penaja utama anugerah berkenaan.
Sasar 20 penyertaan
Ter berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 20 penyertaan bagi anugerah berkenaan dan hanya enam nukilan yang menampilkan kisah paling menyentuh hati akan dipilih sebagai pemenang untuk membawa pulang wang tunai RM3,000 serta hadiah iringan.
Katanya, kisah mengenai individu yang banyak berjasa wajar dizahirkan kepada umum sebagai tanda penghargaan kepada insan berkenaan termasuk ada yang sanggup menggadaikan nyawa.
Kisah hero tidak mengenal batas kaum itu, akan disiarkan dalam akhbar tempatan termasuk BH.
"Kami juga baru-baru ini melancarkan program Titian Perniagaan yang mengetengahkan syarikat atau perniagaan yang mempunyai pekerja berbilang kaum dan bagaimana majikan dan pekerja bekerjasama menguruskan perniagaan," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai harapan KLSCCCI dalam Bajet 2014, Ter berkata, pihaknya mengharapkan pembentangan bajet kali ini lebih mesra rakyat dan pelaksanaan langkah rasionalisasi subsidi kerajaan akan dilaksanakan secara berperingkat supaya tidak memberi tekanan terus kepada rakyat.
Mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), katanya pelaksanaannya perlu disegerakan dan pihaknya mencadangkan supaya dilaksanakan pada kadar di bawah empat peratus, sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hingga lima tahun.
"Kita kini sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, dan untuk mencapainya kerajaan dan rakyat perlu bekerjasama untuk mewujudkan produktiviti," katanya.
No comments:
Post a Comment