GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, October 11, 2013

Kebergantungan negara kepada hasil petroleum menurun


KUALA LUMPUR 10 Okt. - Kebergantungan kerajaan terhadap hasil petroleum mencatat penurunan daripada 35.8 peratus pada 2011 kepada 33.7 peratus pada tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, hal demikian adalah kerana hasil kerajaan daripada bukan petroleum telah meningkat berikutan langkah proaktif kerajaan dalam usaha meningkatkan hasil.

"Hasil kerajaan pada 2012 iaitu berjumlah RM207.9 bilion telah meningkat sebanyak 12.1 peratus berbanding RM185.4 bilion pada 2011," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Senator Khairiah Mohamed mengenai perancangan jangka panjang kerajaan bagi mendapatkan punca hasil baharu bagi menggantikan punca hasil daripada petroleum.

Menurut Abdul Wahid, dalam meningkatkan hasil, kerajaan melalui Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan mengekalkan pengeluaran petroleum dalam kadar yang mapan dan akan terus meneroka potensi yang dikenal pasti secara berterusan bagi mengekalkan tahap produksi minyak dan gas di negara ini.

"Kerajaan juga akan meningkatkan lagi aktiviti ekonomi domestik menerusi pelaksanaan pelbagai projek utama dan Program Transformasi Ekonomi selain melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai ganti kepada cukai jualan dan cukai perkhidmatan," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Senator Ahamat@Ahamad Yusop mengenai bila GST akan dilaksanakan, Abdul Wahid berkata, tarikh pelaksanaannya masih belum ditetapkan.

"Kerajaan sedang menjalankan kajian berkaitan sistem GST bagi menilai impaknya terhadap kadar inflasi dan kaedah terbaik pelaksanaannya.

"Cukai ini lebih komprehensif kerana mencakupi hampir semua barangan dan perkhidmatan berbanding cukai jualan dan perkhidmatan yang tertakluk kepada paras nilai yang tertentu," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment