GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, March 16, 2010

Hak pengguna lebih terjamin


ARKIB : 16/03/2010


Ismail Sabri Yaakob bermesra dengan peserta kanak-kanak selepas merasmikan Kempen Hari Pengguna Sedunia di Giant Kinrara, semalam.


KUALA LUMPUR 15 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memasukkan peruntukan baru dalam Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 bagi melindungi pengguna dalam urusan perjanjian pembelian.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Terma Ketidakadilan Kontrak dimasukkan dalam akta itu kerana rundingan serta perjanjian piawaian termasuk transaksi pembelian barang dan perkhidmatan perlu dijalankan secara adil antara pengguna dan penjual.

Menurutnya, langkah itu dibuat kerana terdapat beberapa kes pengguna tertipu dan teraniaya ekoran perjanjian berat sebelah yang disediakan oleh pihak pengusaha atau penjual.

"Bagi mengatasi masalah ini kementerian telah mengambil langkah supaya peruntukan undang-undang Terma Ketidakadilan Kontrak dimasukan ke dalam akta itu.

''Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada sesi Dewan Rakyat kali ini bagi memberi perlindungan tambahan kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pengguna Sedunia 2010 yang bertemakan 'Wang Kita, Hak Kita' di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu dan Ketua Pegawai Operasi GCH Retail Sdn. Bhd., Datuk John Coyle.

Ismail Sabri berkata, langkah sedemikian bertujuan melindungi pengguna yang sebahagian besarnya tidak memahami terma-terma perjanjian bersifat berat sebelah sehingga boleh merugikan mereka.

Di samping itu beliau memberitahu, kebanyakan pengguna tidak memahami isi kandungan dokumen perjanjian pembelian disediakan penjual.

Katanya, mereka menurunkan tandatangan pada dokumen perjanjian tanpa mengkaji serta memperhalusi terma dan syarat yang terkandung di dalamnya.

''Sekiranya perjanjian dibuat menerusi institusi yang diiktiraf, pengguna akan diterangkan setiap butiran seperti kadar dan pinjaman secara terperinci," katanya.

Tambahnya, institusi kewangan dan bank yang terlibat dengan perjanjian perlu bertanggungjawab mendedahkan maklumat serta kandungan perjanjian yang tepat kepada pengguna.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, isu cukai perkhidmatan dan barangan (GST) tidak dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat kerana kerajaan perlu membuat penelitian terperinci termasuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat sebelum dilaksanakan sebagai satu dasar negara.

"Kementerian Kewangan akan mendapatkan input dan maklum balas daripada orang ramai. Rakyat perlu terlibat dalam pembentukan sesuatu dasar supaya kerajaan tidak melaksanakan dasar yang membebankan rakyat," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0316&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm#ixzz2WNGx0hBN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment