GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, March 14, 2010

Bacaan kedua GST bergantung kepada input rakyat


14/03/2010 3:41pm

IPOH 14 Mac – Pembentangan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) bagi bacaan kedua di Parlimen adalah bergantung kepada input dan penerimaan rakyat, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, pada masa sekarang, pihaknya masih kekurangan input daripada rakyat yang dianggap penting sebelum satu-satu dasar itu dilaksanakan kerajaan.

"Kita sebenarnya telah ada perbincangan dengan sektor swasta dan kita dapati secara menyeluruh sektor itu memahami dan memberi sokongan kecuali ada beberapa badan tertentu yang memberi pandangan secara kritikal.

"Apa yang kita kurang terima adalah input daripada orang awam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Mari Membaca 1Malaysia anjuran Perpustakaan Negara dan merasmikan Perpustakaan Desa di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Jelapang Baru di sini hari ini.

Ketika ditanya tempoh masa yang ditetapkan bagi mendapat input daripada masyarakat awam, beliau berkata, pihaknya tidak menetapkan tempoh tertentu sebaliknya lebih masa dan ruang diperlukan bagi mengadakan pertemuan dengan sektor itu.

Semalam, Ahmad Husni berkata, GST tidak akan dibentangkan bagi bacaan kedua apabila Parlimen bersidang Isnin ini kerana kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpul maklum balas dari rakyat.

Sistem GST sebanyak empat peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan antara lima dan 10 peratus ketika ini yang dicadang dikuatkuasakan pada suku ketiga tahun depan akan meningkatkan keberkesanan kutipan hasil negara. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0314&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz2WNF8FDCL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment