Publication: BH
Date of publication: Jan 21, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 008
Byline / Author: Oleh Kamarulzaidi Kamis
Sebaik saja Dasar Automotif Nasional (DAN) 2014 diumumkan semalam, timbul pelbagai luahan kekecewaan sebilangan pengguna yang disuarakan di laman sosial khususnya yang mengharapkan penurunan harga kereta menerusi pemotongan cukai eksais secara langsung.
Sememangnya perkara itu tidak berlaku kerana di bawah DAN, kerajaan mengamalkan pendekatan lokalisasi untuk menurunkan harga kereta.
Menerusi kaedah itu, kerajaan membenarkan pengeluar komponen kenderaan di Malaysia dan ASEAN memohon mendapatkan rebat cukai dalam usaha mengurangkan cukai yang sebahagian besarnya memberi kesan kepada harga jualan kenderaan.
Dilaksana sejak 2013
Langkah itu sebenarnya sudah dilaksanakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak tahun lalu iaitu di bawah Rangka Kerja Pengurungan Harga Kereta (CPR).
Malah, mengikut maklumat yang ada, pengeluar kereta yang dipasang di negara ini sudah pun mula mengurangkan harga jualan masing-masing menerusi kaedah lokalisasi itu.
Antaranya adalah harga sesetengah model seperti Honda Jazz sudah dikurangkan sehingga 17 peratus, Nissan Sentra (13 peratus) dan PROTON Saga (12 peratus).
Selain itu, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai April tahun depan juga akan membantu merendahkan harga kenderaan.
"Berdasarkan kajian simulasi kami, GST akan membantu mengurangkan harga kereta kerana cukai jualan 10 peratus, manakala GST hanya enam peratus. Ini bermakna akan ada pengurangan empat peratus cukai jualan," kata Ketua Eksekutif Institut Automotif Malaysia, Madani Sahari ketika ditemui baru-baru ini.
Ketika ini, kerajaan mengenakan duti import sehingga 30 peratus, manakala duti eksais antara 65 peratus hingga 125 peratus.
Dalam pengumuman DAN semalam, Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan akan membenarkan pembuat kereta asing mengeluarkan kereta penumpang berkapasiti enjin lebih kecil di negara ini.
Ia langkah liberalisasi bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai peneraju dalam tenaga cekap kenderaan (EEV).
Perubahan, berkuatkuasa serta-merta itu membolehkan pembuat kereta asing mengeluarkan kereta EEV dengan enjin 1.8 liter atau kurang, yang mana sebelum ini disekat.
Projek yang juga tidak disyaratkan keperluan kerjasama dengan rakan kongsi domestik itu, akan menikmati pelbagai insentif termasuk pelepasan cukai.
Sasar pengeluar asing
Pembaharuan dijangka berupaya menarik minat beberapa syarikat kereta antarabangsa, khususnya yang sedang meninjau untuk menubuhkan hub pengeluaran di rantau ini, untuk membuka kilang di Malaysia.
Langkah sedemikian adalah antara kaedah yang diguna pakai kerajaan dalam usaha mengurangkan harga kereta yang mana disasarkan antara 20 hingga 30 peratus lebih murah dalam tempoh empat tahun.
Selain penurunan harga kereta, ia juga memiliki kesan pengganda ekonomi yang besar yang mana berpotensi mewujudkan peluang perniagaan kepada vendor tempatan serta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
No comments:
Post a Comment